Gempa kuat 7.1 magnitud di Jepun ragut lima nyawa, puluhan cedera

Gempa kuat 7.1 magnitud di Jepun ragut lima nyawa, puluhan cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Sekurang-kurangnya lima orang maut selepas gempa bumi bermagnitud 7.1 menggegarkan wilayah Kumamoto di selatan Jepun pada Selasa, mencetuskan letupan di sebuah pusat beli-belah, runtuhan bangunan, gangguan bekalan elektrik kepada ribuan kediaman serta kerosakan jalan raya di seluruh kawasan terjejas.

Kerajaan Wilayah Kumamoto pada awal Rabu memaklumkanpasukan penyelamat yang bertungkus-lumus sepanjang malam berjaya mengeluarkan lapan mangsa dari pusat beli-belah Aeon Mall Kumamoto, lokasi letupan berlaku sejurus selepas gempa.

Daripada lapan mangsa itu, dua wanita berusia lingkungan 20-an disahkan maut. Lima mangsa lain cedera, namun pihak berkuasa berkata, keadaan mereka tidak mengancam nyawa.

Pasukan bomba dan penyelamat, polis serta anggota Pasukan Pertahanan Diri Jepun (SDF) menjalankan operasi bersama sepanjang malam dengan menumpukan usaha mencari di bahagian bangunan yang menerima panggilan meminta bantuan.

Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi berkata, pihak berkuasa masih menilai sepenuhnya tahap kerosakan di kawasan berkenaan yang pernah dilanda gempa bumi dahsyat sedekad lalu.

Kira-kira 300,000 penduduk diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara, manakala gegaran susulan terus dirasai di Pulau Kyushu di barat daya Jepun.

Penyiar NHK melaporkan beberapa individu masih hilang selepas cerobong runtuh di sebuah kilang milik Nippon Paper Industries.

Dua hospital turut dilaporkan sedang merawat lebih 50 mangsa setiap satu, dengan sebahagian mereka mengalami kecederaan serius.

Beberapa penumpang kereta api berkelajuan tinggi turut cedera ketika gempa berlaku, menurut pengendali perkhidmatan itu.

Pihak berkuasa juga sedang menangani beberapa insiden bangunan yang runtuh sebahagian atau terbakar. TV Asahi melaporkan seorang individu maut akibat runtuhan bangunan di sebuah bandar berhampiran pusat gempa.

Beberapa jalan raya turut mengalami kerosakan teruk apabila rekahan besar muncul di lebuh raya utama, sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas. Perkhidmatan kereta api digantung, manakala penerbangan turut dibatalkan.

Syarikat pengeluar cip terbesar dunia, TSMC, bersama Sony dan Fujifilm, memindahkan pekerja dari kilang masing-masing susulan gempa itu.

TSMC dalam kenyataan lewat Selasa berkata, kemudahannya tidak mengalami kerosakan dan operasi sedang disambung semula secara berperingkat.

Bagaimanapun, pengeluar peralatan semikonduktor Tokyo Electron memaklumkan operasi di dua kilangnya di Kumamoto digantung sehingga Rabu, manakala Honda turut menghentikan sementara operasi kilang motosikalnya di wilayah itu.

Pusat gempa terletak kira-kira 20 kilometer di selatan Bandar Kumamoto, bandar terbesar di tengah Kyushu yang mempunyai sekitar 700,000 penduduk.

Pegawai Agensi Meteorologi Jepun mengingatkan penduduk di kawasan paling teruk terjejas supaya berwaspada terhadap kemungkinan gempa bumi kuat dalam tempoh kira-kira seminggu lagi, selain risiko kejadian tanah runtuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN