Dewan Perwakilan AS lulus rang undang-undang pertahanan terbesar

Dewan Perwakilan AS lulus rang undang-undang pertahanan terbesar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) meluluskan rang undang-undang dasar pertahanan tahunan dengan peruntukan terbesar AS$1.15 trilion (RM4.7 trilion), ketika perang Iran yang mencetuskan perpecahan politik di negara itu terus berlanjutan.

Rang Undang-Undang Kebenaran Pertahanan Nasional 2027 (NDAA) itu diluluskan dengan majoriti tipis 216-212 undi, menunjukkan peningkatan perpecahan politik di bawah pentadbiran Presiden, Donald Trump.

Walaupun rang undang-undang pertahanan lazimnya mendapat sokongan dwipartisan daripada kedua-dua parti, NDAA 2027 itu masih perlu mendapat kelulusan Senat sebelum boleh dimuktamadkan.

Rang undang-undang tersebut memperuntukkan kira-kira AS$250 billion (RM1.02 trilion) lebih tinggi berbanding NDAA 2026, termasuk kenaikan gaji antara lima hingga tujuh peratus untuk anggota tentera.

“Undang-undang ini memberikan anggota perkhidmatan berani kita kenaikan gaji yang sudah lama tertangguh, memperkukuh pencegahan nuklear dan pertahanan peluru berpandu, termasuk pembinaan Golden Dome,” kata Speaker Dewan Perwakilan, Mike Johnson.

Trump sebelum ini berusaha membangunkan sistem pertahanan peluru berpandu dikenali sebagai Golden Dome bagi melindungi tanah besar AS yang diinspirasikan daripada sistem Iron Dome milik Israel.

Dalam satu kenyataan, anggota Republikan bagi Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Dewan Perwakilan AS berkata, rang undang-undang itu akan membantu membina semula simpanan bekalan yang semakin berkurangan, ketika AS menggunakan sejumlah besar peluru dalam perang menentang Iran.

Bagaimanapun, wakil Demokrat, Jerry Nadler berkata, beliau tidak dapat menyokong peruntukan sebanyak AS$1.15 trilion (RM4.7 trilion) kepada Trump dan Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth untuk perbelanjaan ketenteraan yang tidak terkawal serta tindakan tidak bertanggungjawab.

“NDAA ini adalah rang undang-undang mahal dan buruk yang membiayai perang yang tidak sah serta menjejaskan demokrasi kita,” katanya.

Rang undang-undang itu turut mencetuskan kemarahan Demokrat selepas akta pilihan raya pilihan Trump, dikenali sebagai ‘Akta SAVE America’, dimasukkan ke dalam NDAA menerusi langkah prosedur.

Akta tersebut akan memperkenalkan sekatan baharu berkaitan pengundian di seluruh negara, sekali gus menjadikan proses kelulusan di Senat lebih rumit.

Kontroversi turut tercetus dalam beberapa minggu kebelakangan ini berhubung satu lagi peruntukan NDAA yang menyeru peningkatan kerjasama antara angkatan tentera AS dan Israel.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN