RAMALLAH: Seorang bayi lelaki warga Palestin berusia empat bulan disahkan meninggal dunia selepas tentera Israel bertindak menyekat laluan ambulans yang membawanya untuk mendapatkan rawatan kecemasan di barat Ramallah, Tebing Barat.
Gabenor Ramallah dan el-Bireh, Laila Ghannam menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan, pihak Hospital Pakar Arab mengesahkan kematian mangsa, Ahmad Marouf Zeid pada malam Ahad.
Kematian itu berlaku selepas rejim Zionis menghalang mangsa daripada dipindahkan ke hospital selama lebih sejam meskipun menyedari bayi malang itu berada dalam keadaan kritikal.
Jelas Ghannam, tentera Israel turut melepaskan gas pemedih mata bagi menghalang penduduk Palestin yang cuba merentasi pusat pemeriksaan di laluan masuk ke perkampungan Deir Ammar tersebut.
Beliau menyifatkan insiden tragis yang menimpa Ahmad, anak tunggal dalam keluarganya sebagai satu titik hitam dalam ruang kemanusiaan.
Ghannam menegaskan ia adalah sebahagian daripada dasar kejam Israel yang sengaja menyekat kebebasan bergerak dan akses kesihatan rakyat Palestin, sekali gus mencabuli hak asasi manusia.
Dalam perkembangan berasingan di Tebing Barat, Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun maut ditembak tentera Israel di kem pelarian Qalandiya dekat Ramallah.
Dua lagi remaja lelaki berusia 14 tahun dilaporkan cedera dalam insiden yang berlaku pada Ahad itu.
Gelombang keganasan di Tebing Barat dilaporkan semakin memuncak sejak bermulanya perang genosid rejim Zionis ke atas Gaza lebih 1,000 hari lalu.
Menurut data kementerian, tentera dan pendatang haram Yahudi telah membunuh sekurang-kurangnya 1,087 rakyat Palestin di Tebing Barat sejak Oktober 2023.
Sementara itu di Semenanjung Gaza, sekurang-kurangnya dua orang terkorban manakala beberapa yang lain cedera apabila dron Israel menyasarkan sekumpulan penduduk Palestin di Jalan Omar al-Mukhtar, di tengah-tengah Bandar Gaza, semalam. – AGENSI










