SANTIAGO: Kerajaan Chile mengisytiharkan darurat selepas hujan lebat yang melanda negara itu mengorbankan sekurang-kurangnya 10 nyawa selain memusnahkan serta merosakkan lebih 1,000 buah rumah, kata pihak berkuasa.
Sejak minggu lalu, hujan lebat berterusan melanda wilayah utara Coquimbo dan Atacama yang biasanya kering dan gersang, di mana kadar taburan hujan secara ekstrem sedemikian adalah sangat luar biasa.
Pengarah Perkhidmatan Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Bencana Negara (SENAPRED) Chile, Alicia Cebrian dalam satu sidang akhbar pada Isnin mengesahkan sekurang-kurangnya 10 orang terkorban, 17 tercedera manakala empat lagi dilaporkan masih hilang.
Menurut statistik rasmi, lebih 1,100 kediaman musnah atau mengalami kerosakan teruk akibat cuaca ekstrem tersebut.
Keadaan yang semakin meruncing itu mendorong Presiden, Jose Antonio Kast mengisytiharkan darurat di kawasan yang terjejas pada Isnin.
Langkah pengisytiharan darurat berkenaan membolehkan pihak kerajaan mengerahkan anggota tentera, menyekat kebebasan pergerakan awam serta menggembleng bantuan dengan lebih pantas.
Pertambahan isi padu air sungai dilaporkan melimpah hingga menyekat laluan jalan raya dan memencilkan beberapa komuniti, manakala fenomena tanah runtuh serta gangguan bekalan elektrik turut menjejaskan bekalan air bersih di Coquimbo.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Maximo Pavez memberitahu wartawan bahawa kadar taburan hujan pada Ahad adalah luar biasa dan ekstrem.
“Jumlah hujan yang biasanya turun dalam tempoh sebulan telah turun hanya dalam masa satu jam,” katanya.
Sementara itu, pegawai perkhidmatan meteorologi kebangsaan, Arnaldo Zuniga memberitahu AFP Chile tidak pernah menyaksikan kadar taburan hujan setinggi ini dalam tempoh dua dekad.
“Kami tidak pernah berdepan dengan situasi seumpama ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya. -AFP










