WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan melakukan penerbangan pertamanya menggunakan pesawat Air Force One baharu yang dihadiahkan oleh Qatar pada minggu ini, menurut Rumah Putih pada Isnin.
Trump akan menaiki pesawat itu pada Rabu ke Dakota Utara bagi menghadiri acara memperingati ulang tahun ke-250 kemerdekaan Amerika, kata seorang pegawai White House kepada AFP.
Ketika memperkenalkan pesawat itu awal bulan ini, Trump memuji negara Teluk tersebut kerana sangat baik dan menyediakan pesawat Boeing 747 yang telah diubah suai itu, yang sebelum ini digunakan oleh ketua negara Qatar.
Trump, yang juga seorang bilionair, sejak penggal pertamanya diketahui berhasrat menggantikan pesawat rasmi presiden AS, Air Force One yang semakin lama.
Malah, beliau sendiri memilih reka bentuk baharu pesawat tersebut yang berwarna merah, putih dan biru.
Namun, pengkritik telah membangkitkan kebimbangan berkaitan etika, perlembagaan dan keselamatan berhubung penerimaan pesawat bernilai ratusan juta dolar itu daripada sebuah kuasa asing seperti Qatar.
Perlembagaan Amerika melarang presiden dan pegawai kerajaan lain daripada menerima sebarang hadiah, ganjaran, jawatan atau gelaran dalam apa jua bentuk daripada mana-mana raja, putera atau negara asing tanpa kelulusan Kongres AS. – AFP










