Rubio sahkan Mojtaba Khamenei masih hidup, aktif beri maklum balas

Rubio sahkan Mojtaba Khamenei masih hidup, aktif beri maklum balas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio mengesahkan Pemimpin Tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei masih hidup dan kini dikesan semakin aktif memberikan maklum balas.

Sebelum ini, beliau dilaporkan tercedera dalam serangan udara berskala besar oleh pakatan AS-Israel dan tidak pernah muncul di khalayak ramai sejak mengambil alih tampuk pimpinan negara berkenaan.

“Saya berpandangan terdapat beberapa petunjuk jelas yang menunjukkan beliau kini semakin aktif melibatkan diri dalam beberapa peringkat pentadbiran,” jelas Rubio ketika memberikan keterangan di hadapan Jawatankuasa Hubungan Luar Senat.

Mojtaba Khamenei, 56, telah dilantik bagi menggantikan bapanya, Ayatollah Ali Khamenei yang terkorban dalam gelombang pertama serangan udara AS-Israel yang mencetuskan krisis peperangan bermula pada 28 Februari lalu.

Keterangan Rubio di hadapan panel Senat itu dibuat ketika rundingan bagi menamatkan krisis peperangan yang berlarutan selama tiga bulan di Asia Barat itu kini dilaporkan berada dalam fasa buntu.

Krisis konflik berdarah terbabit setakat ini mengheret rantau berkenaan ke kancah peperangan, selain mencetuskan krisis tenaga global yang meruncing.

Meskipun begitu, Rubio tetap menzahirkan harapan agar satu persetujuan damai dapat dicapai dengan pihak Iran dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Teheran perlu mengehadkan program nuklear mereka secara drastik terlebih dahulu sekiranya mahu sekatan ekonomi antarabangsa ditarik balik.

“Kita mempunyai peluang di hadapan kita yang mana perkara ini (perjanjian damai) boleh berlaku pada hari ini, esok ataupun pada minggu hadapan,” ujar Rubio lagi.

Menyentuh mengenai syarat keselamatan maritim, Rubio menegaskan pihak Teheran mesti bersetuju untuk membuka semula laluan Selat Hormuz yang merupakan saluran perkapalan paling kritikal bagi penghantaran bekalan minyak dan gas dari rantau Teluk.

“Mereka perlu mengumumkan secara jelas bahawa laluan selat kini telah dibuka semula dan mereka tidak akan mengenakan sebarang bayaran tol.

“Kita pula akan membantu untuk membersihkan periuk api yang mereka pasang di laluan terbabit, dengan syarat mereka tidak akan melepaskan tembakan ke arah kapal-kapal yang lalu.

“Mereka perlu bersetuju untuk merundingkan sekatan jangka panjang yang ketat dan atau membatalkan sepenuhnya sebarang aktiviti pengayaan uranium,” tambahnya.

Rubio turut menekankan Iran dikenakan sekatan ekonomi yang berat ekoran tindakan mereka melakukan pengayaan uranium pada tahap yang tinggi serta penglibatan aktif dalam aktiviti nuklear.

Katanya, sekiranya mereka bersetuju untuk menghentikan program berkenaan, pihak AS sedia memberikan pelepasan daripada sekatan ekonomi tersebut. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN