Perancis, Itali mahu tubuh gabungan multinasional ganti UNIFIL di Lubnan - Utusan Malaysia

Perancis, Itali mahu tubuh gabungan multinasional ganti UNIFIL di Lubnan

BEBERAPA kenderaan UNIFIL di Tyre, Lubnan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Perancis dan Itali mahu menubuhkan satu gabungan multinasional bagi menggantikan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan, UNIFIL, kata Presiden Perancis, Emmanuel Macron pada Khamis.

“Kami mahu melancarkan satu gabungan bagi pengaturan selepas UNIFIL, sudah tentu dengan penyelarasan bersama Kesatuan Eropah (EU) dan PBB untuk mengukuhkan kedaulatan Lubnan serta angkatan tenteranya,” kata Macron selepas perbincangan dengan Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni di bandar Antibes di Riviera Perancis.

Pasukan baharu itu akan membantu mengelakkan wilayah Lubnan daripada menjadi tapak bagi peningkatan ketegangan serantau, kata Macron.

Sementara itu, Meloni berkata, Itali dan Perancis boleh benar-benar membuat perubahan.

“Daripada sudut pandang kami, adalah perlu untuk memastikan kehadiran antarabangsa yang mengelakkan kekosongan keselamatan yang sangat berbahaya,” tambahnya.

Perancis merupakan antara penyumbang terbesar kepada pasukan pengaman PBB tersebut.

UNIFIL kini mempunyai sekitar 7,500 anggota pengaman dari hampir 50 negara. Mereka ditempatkan di selatan Lubnan berhampiran Garis Biru.

Pasukan itu telah menjadi penampan antara Lubnan dan Israel sejak 1978, walaupun kehadirannya tidak menghalang berulangnya konflik.

Pada Ogos tahun  lalu, Majlis Keselamatan PBB, di bawah tekanan Amerika Syarikat, memutuskan untuk menamatkan mandat UNIFIL pada 31 Disember 2026. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×