LOS ANGELES: Lapan individu, termasuk dua kakitangan syarikat gergasi aeroangkasa Boeing, disahkan terkorban selepas sebuah pesawat pengebom B-52 milik Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) terhempas sejurus berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Edwards di selatan California, pada Isnin.
Insiden dilaporkan berlaku pada pukul 11.20 pagi waktu tempatan ketika pesawat berkenaan sedang menjalani misi ujian rutin. Impak nahas tersebut mencetuskan kepulan asap hitam tebal yang dapat dilihat dari jarak beberapa kilometer.
“Hari ini (semalam) Pangkalan Tentera Udara Edwards dilanda tragedi yang amat ngeri dan kita telah kehilangan lapan rakyat AS yang hebat,” kata Kolonel James Hayes.
Beliau menggambarkan mangsa sebagai kru gabungan yang terdiri daripada anggota tentera, kakitangan awam kerajaan dan kontraktor kerajaan.
Pihak pangkalan udara sebelum itu memaklumkan bahawa petunjuk awal menunjukkan tiada mangsa yang terselamat dalam nahas tersebut.
Menurut Hayes dalam satu taklimat media, proses memaklumkan waris mangsa sedang dilakukan dan nama-nama mereka akan diumumkan dalam tempoh 24 jam selepas proses tersebut selesai.
Beliau menambah, kawasan nahas adalah terkawal sepenuhnya di dalam landasan Pangkalan Tentera Udara Edwards dan pihak pangkalan telah menggantung sementara semua operasi penerbangan.
Pesawat B-52 berkenaan dilaporkan sedang menyokong program modenisasi radar di pangkalan tersebut sebelum ia terhempas sejurus berlepas lalu marak terbakar.
Hayes menjelaskan bahawa selepas meneliti rakaman awal, insiden itu dikategorikan sebagai nahas yang tidak dapat dielakkan dan tiada peluang untuk terselamat.
Punca sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan sehingga siri siasatan selesai dijalankan yang dijangka mengambil masa sehingga 30 hari. Siasatan analisis lanjut bagi mengenal pasti punca nahas pula boleh memakan masa lebih daripada enam bulan.
Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, syarikat Boeing mengesahkan dua kakitangannya merupakan antara mangsa yang berada di dalam pesawat tersebut dan kini sedang berhubung dengan keluarga mereka. Syarikat itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika dihubungi pihak media.
Pesawat B-52 ialah pengebom berat yang pertama kali terbang pada tahun 1954 dan pada asalnya direka untuk peperangan dengan Kesatuan Soviet. – AGENSI










