TEL AVIV: Tentera Israel berkata pada Isnin bahawa ia telah menyerang sasaran di barat dan tengah Iran, ketika televisyen kerajaan Iran melaporkan beberapa letupan berlaku di bandar Teheran, Tabriz dan Isfahan.
“Sebentar tadi, Tentera Udara Israel telah menyerang sasaran ketenteraan milik rejim Iran di barat dan tengah Iran,” menurut kenyataan yang disiarkan oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) di Telegram.
Televisyen kerajaan Iran turut melaporkan bahawa beberapa letupan kedengaran di Teheran, Tabriz dan Isfahan, namun tidak memberikan butiran lanjut mengenai sasaran yang terjejas.
Serangan itu berlaku beberapa jam selepas Iran melancarkan peluru berpandu ke arah Israel dalam serangan pertama sejak gencatan senjata April, sehingga meningkatkan semula ketegangan dan menjejaskan usaha diplomatik untuk mengekalkan keamanan di rantau tersebut.
Siren amaran serangan udara bergema di Israel pada Ahad apabila tenteranya memaklumkan bahawa ia berjaya memintas peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran, iaitu serangan pertama seumpama itu sejak gencatan senjata pada April berkuat kuasa dalam perang di Asia Barat.
Pasukan elit Kor Pengawal Revolusi Iran menyifatkan serangan itu sebagai satu amaran selepas Israel menyerang pinggir selatan Beirut pada awal hari yang sama dan mengancam akan melancarkan serangan yang lebih meluas sekiranya pencerobohan berulang.
Gencatan senjata yang bermula pada 8 April telah menghentikan permusuhan besar antara Iran dengan musuhnya, Israel dan Amerika Syarikat (AS) yang menyerang Teheran pada 28 Februari lalu
Namun, usaha untuk menukar gencatan senjata itu kepada satu penyelesaian berkekalan sering menemui jalan buntu dan pelancaran peluru berpandu pada Ahad dijangka terus menjejaskan harapan untuk mencapai keamanan yang berkekalan di Asia Barat. – AFP










