WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio, mengadakan perbincangan dengan Presiden Lubnan, Joseph Aoun dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berhubung rundingan diplomatik antara kedua-dua negara.
Perbincangan itu diadakan sebagai usaha meredakan ketegangan yang berterusan di rantau itu.
Seorang pegawai AS berkata, Washington mengemukakan satu pelan untuk membolehkan ‘penurunan ketegangan secara beransur-ansur’ sebagai usaha menghentikan konflik.
Berdasarkan cadangan itu, kumpulan Hizbollah yang disokong Iran dikehendaki menghentikan semua serangan terhadap Israel sebagai langkah pertama.
Sebagai balasan, Israel tidak akan melakukan sebarang peningkatan ketenteraan di Beirut, menurut pegawai tersebut.
“Ini akan mewujudkan ruang untuk penurunan ketegangan secara beransur-ansur dan penghentian permusuhan yang berkesan,” kata pegawai itu.
Pegawai tersebut berkata, Aoun cuba memajukan cadangan itu dan mendapatkan persetujuan.
Bagaimanapun, Speaker Parlimen Lubnan, Nabih Berri yang menjamin komitmen Hizbollah terhadap gencatan senjata, menyatakan bahawa Israel perlu terlebih dahulu menghentikan serangan.
Gencatan senjata bagi menghentikan pertempuran antara Israel dan Hizbollah yang disokong Iran secara rasmi mula berkuat kuasa pada 17 April, namun tidak pernah dipatuhi.
Lubnan terheret ke dalam perang di Asia Barat apabila Hizbollah mula melancarkan roket ke arah Israel pada 2 Mac sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Netanyahu pada Ahad dilaporkan berkata, beliau mengarahkan tentera maju lebih jauh ke dalam Lubnan dalam operasi menentang Hizbollah, walaupun gencatan senjata diumumkan lebih enam minggu lalu.
Dalam perkembangan terbaharu, tentera Israel dilaporkan menawan Istana Beaufort yang berusia 900 tahun dan sebuah permatang strategik di selatan Lubnan, menurut pasukan rejim Zionis pada Ahad.
Tindakan itu berlaku sehari selepas salah satu hari paling sengit serangan Hizbollah ke arah utara Israel sejak gencatan senjata April, yang turut menyebabkan penutupan sekolah dan beberapa sekatan dilaksanakan.
Seorang pegawai AS berkata, Washington tidak menjangkakan Israel akan terus membiarkan serangan berterusan terhadap orang awamnya oleh Hizbollah.- AGENSI










