PARIS: Sebuah pesawat awam yang membawa peserta aktiviti terjun udara terhempas berhampiran bandar Tomblaine di timur Perancis pada Ahad, mengorbankan kesemua 11 individu di dalamnya, menurut pihak berkuasa tempatan.
Ia merupakan salah satu nahas pesawat ringan paling buruk di Perancis.
Nahas itu mengorbankan lima jurulatih, lima pelajar dan juruterbang, kata pengawas Jabatan Meurthe-et-Moselle, Yves Seguy.
“Tiada orang awam di lokasi kejadian yang menjadi mangsa,” tambahnya pada sidang media.
Pesawat yang didaftarkan di Jerman itu terhempas di kawasan berumput berhampiran landasan Lapangan Terbang Nancy-Essey, berdekatan kawasan perumahan dan dua batang jalan raya, menurut wartawan AFP di lokasi.
Punca nahas masih belum dapat dipastikan.
Pasukan perubatan dan sokongan psikologi sedang memberikan bantuan kepada ahli keluarga mangsa yang berada di lapangan terbang ketika kejadian, serta saksi lain.
Siasatan teknikal telah dibuka, kata Timbalan Pendakwa Raya Nancy, Amaury Lacote.
Polis menggesa orang ramai menerusi platform media sosial X supaya mengelakkan sama sekali kawasan sekitar lapangan terbang bagi memberi laluan kepada pasukan kecemasan. – AFP










