WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata bahawa Iran telah melepaskan beberapa tembakan tetapi menyebabkan sedikit kerosakan di Selat Hormuz pada Isnin selain menggesa Korea Selatan menyertai perang selepas sebuah kapalnya terkena serangan.
Perkembangan itu menggugat gencatan senjata yang sememangnya rapuh, dengan kapal perang AS turut bergerak melalui laluan perairan penting itu pada Isnin dalam apa yang menurut Trump sebagai usaha melindungi perkapalan.
“Iran telah melepaskan beberapa tembakan terhadap negara-negara yang tidak berkaitan berhubung pergerakan kapal dalam Projek Freedom (Kebebasan), termasuk sebuah kapal kargo Korea Selatan. Mungkin sudah tiba masanya Korea Selatan datang dan menyertai misi ini!” tulis Trump di media sosial miliknya, Truth Social.
“Selain kapal Korea Selatan itu, setakat ini tiada kerosakan berlaku ketika melalui selat tersebut,” tambahnya lagi.
Sebelum ini, agensi berita Fars dari Iran melaporkan pada Isnin bahawa tentera Iran telah menyerang sebuah kapal frigat Tentera Laut AS dalam serangan peluru berpandu di Selat Hormuz, namun tentera AS dengan pantas menafikan dakwaan itu.
Laporan Fars itu muncul beberapa jam selepas Trump berkata, tentera AS akan mula mengiringi kapal melalui laluan perairan tersebut pada Isnin.
“Frigat itu yang belayar dengan melanggar peraturan pelayaran dan keselamatan maritim berhampiran (pelabuhan) Jask, menjadi sasaran serangan peluru berpandu selepas mengabaikan amaran daripada tentera laut Iran,” lapor Fars tanpa menamakan sumber.
“Frigat Amerika yang terkena serangan itu tidak dapat meneruskan perjalanan dan terpaksa berpatah balik serta melarikan diri dari kawasan tersebut,” menurut agensi berita Iran itu lagi.
Tiada pengesahan daripada sumber lain bahawa peluru berpandu telah dilepaskan dan Markas Pusat Tentera Amerika Syarikat (CENTCOM) mengeluarkan penafian di platform X.
“Tiada kapal Tentera Laut AS yang terkena serangan,” kata CENTCOM.
Trump sebelum ini berkata, AS akan mula mengiringi kapal melalui selat strategik itu pada Isnin.
Selat tersebut merupakan laluan utama pengangkutan minyak, gas dan baja sebelum perang di Asia Barat tercetus pada 28 Februari dan Iran mula menyekat laluan perairan itu.
Jask, yang terletak di selatan Iran di pesisir Teluk, berada kira-kira 200 kilometer dari selat sempit yang memisahkan Semenanjung Arab dengan Iran. – AFP










