Presiden Bolivia sedia guna kuasa perlembagaan hadapi protes - Utusan Malaysia

Presiden Bolivia sedia guna kuasa perlembagaan hadapi protes

SEORANG penunjuk perasaan memegang patung kayu yang menggambarkan Rodrigo Paz semasa protes menentang kerajaan di La Paz kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LA PAZ: Presiden Bolivia, Rodrigo Paz memberi amaran negara itu berada di ‘titik kritikal’ susulan hampir sebulan protes yang menyebabkan kekurangan makanan, bahan api dan ubat-ubatan penting.

Paz yang disokong Amerika Syarikat (AS) dan baru enam bulan memegang jawatan ketika krisis ekonomi terburuk dalam empat dekad, kini berdepan gelombang kemarahan terhadap dasar berhaluan tengah-kanannya.

Ibu kota politik La Paz terus dibelenggu protes apabila kumpulan pekerja berpendapatan rendah dan komuniti majoriti Orang Asli menuntut beliau meletak jawatan.

“Negara memerlukan ketertiban dan sedang menghampiri titik kritikal,” kata pemimpin berusia 58 tahun itu dalam satu acara di La Paz, sambil memperbaharui gesaan supaya dialog diteruskan.

Pada Selasa, Kongres Bolivia melonggarkan sekatan yang sebelum ini menghalangnya daripada mengisytiharkan darurat, sekali gus membuka ruang kepada kemungkinan penggunaan tentera untuk memulihkan keadaan.

Bagaimanapun, Paz masih menekankan penyelesaian melalui dialog, namun tidak menolak penggunaan ‘instrumen perlembagaan’ untuk menamatkan sekatan di La Paz, merujuk kepada kemungkinan pengisytiharan darurat.

“Mana-mana pihak yang mahu memusnahkan negara akan berdepan presiden ini dan kekuatan penuh perlembagaan,” katanya pada Rabu, sambil memberi jaminan kepada polis dan tentera bahawa mereka mendapat sokongan rakyat.

Amaran itu dibuat ketika ribuan wanita Orang Asli berpakaian tradisional dengan skirt berlapis berarak di La Paz sempena Hari Ibu di Bolivia, sebagai tanda sokongan kepada pekerja pengangkutan yang mogok.

“Kami tidak takut mati. Kami sudah beritahu dia supaya kemas barang dan pergi,” kata penunjuk perasaan, Marta Poma Luque, kepada AFP, merujuk kepada Paz.

Protes bermula pada awal Mei dengan tuntutan kenaikan gaji bagi membantu pekerja menghadapi krisis ekonomi yang teruk, bekalan bahan api yang stabil serta penarikan balik reformasi agraria yang tidak popular. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN