Lembaga Keamanan tidak cukup dana bina semula Gaza

Lembaga Keamanan tidak cukup dana bina semula Gaza

DONALD Trump merasmikan majlis menandatangani perjanjian pada mesyuarat sulung Lembaga Keamanan di Institut Keamanan AS di Washington pada 19 Februari lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Lembaga Keamanan yang ditubuhkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menyelia pentadbiran dan pembinaan semula Gaza dilaporkan berdepan kekurangan dana bagi melaksanakan usaha berkenaan.

Badan tersebut dikatakan berdepan jurang besar antara jumlah sebenar dana yang disalurkan dengan angka AS$17 bilion (RM67 bilion) yang dijanjikan kepada organisasi berkenaan, menurut laporan media kelmarin.

“Dana yang dijanjikan tetapi belum disalurkan itu menyebabkan perbezaan besar dalam rangka kerja yang wujud di atas kertas dan yang benar-benar dilaksanakan di lapangan untuk rakyat Gaza,” kata laporan bertarikh 15 Mei kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang dipetik media.

Kekurangan dana itu turut mencetuskan kebimbangan terhadap keberkesanan Lembaga Keamanan, yang sebelum ini dikritik kerana didakwa cuba mengetepikan peranan organisasi antarabangsa dan badan bantuan lain yang tidak dikehendaki Israel dalam usaha membentuk masa depan Gaza.

Agensi berita Reuters pada April melaporkan, lembaga itu hanya menerima sebahagian kecil dari AS$17 bilion dana yang dijanjikan, namun laporan tersebut ditolak oleh badan itu selepas mendakwa tiada ‘sekatan kewangan’ yang berlaku.

Kos pembinaan semula Gaza, yang sebahagian besar kawasannya musnah akibat perang Israel, dianggarkan mencecah AS$70 bilion (RM278 bilion).

Lembaga Keamanan dalam laporannya menganggarkan 85 peratus bangunan serta infrastruktur di Gaza musnah, dan sebanyak 70 juta tan runtuhan perlu dibersihkan.

Laporan kepada UNSC menyatakan, jurang pembiayaan perlu ditutup ‘dengan segera’, namun tidak memperincikan saiz sebenar kekurangan dana tersebut.

Lembaga Keamanan diluluskan oleh PBB sebagai sebahagian daripada pelan damai antara Israel dan kumpulan Hamas. Namun, beberapa negara memilih untuk tidak menyertai badan tersebut.

Negara seperti AS, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar menjanjikan dana kepada lembaga itu, termasuk Maghribi, Uzbekistan serta Kuwait.

Israel pula terus menyekat akses bantuan kemanusiaan ke Gaza serta melancarkan serangan berulang yang membunuh lebih 800 rakyat Palestin di wilayah tersebut sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober lalu.

Dalam wawancara dengan The New York Times pada November lalu, seorang pegawai utama AS yang menyelia perancangan pascaperang Washington bagi Gaza, Aryeh Lightstone mengesahkan antara cadangan itu ialah membina penempatan untuk ribuan rakyat Palestin yang ‘ditapis’ di kawasan garisan kuning yang kini diduduki tentera Israel.

Penasihat AS itu turut merangka pelan untuk menjadikan Gaza sebagai hab teknologi kecerdasan buatan (AI) dan bandar mega, yang dikecam pengkritik sebagai usaha pembersihan etnik terhadap rakyat Palestin.-AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN