TEHERAN: Badan keselamatan tertinggi Iran pada Isnin mengumumkan penubuhan sebuah badan baharu bagi menguruskan Selat Hormuz, yang kini secara efektif dikawal Teheran dan mahu mengenakan caj kepada kapal yang melaluinya.
Menerusi akaun rasmi X milik Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, satu hantaran dikongsi daripada Pihak Berkuasa Selat Teluk Parsi (PGSA) yang menyatakan badan itu akan menyediakan kemas kini masa nyata mengenai operasi Selat Hormuz dan perkembangan terkini.
Akaun milik tentera laut Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) turut berkongsi hantaran sama.
Masih belum jelas apakah fungsi sebenar badan baharu itu, namun awal bulan ini penyiar berbahasa Inggeris Iran, Press TV melaporkan, ia merupakan satu sistem untuk melaksanakan kedaulatan ke atas Selat Hormuz.
Menurut laporan itu, kapal yang melalui selat berkenaan turut menerima peraturan menerusi e-mel [email protected].
Iran sebahagian besarnya telah menyekat pelayaran melalui selat strategik itu sejak tercetusnya perang dengan Amerika Syarikat dan Israel pada 28 Februari lalu. Satu gencatan senjata rapuh kini berkuat kuasa sejak 8 April.
Kawalan Iran ke atas laluan perairan itu telah menggugat pasaran global dan memberi Teheran pengaruh besar, ketika Amerika Syarikat (AS) turut mengenakan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran.
Dalam keadaan aman, laluan itu mengendalikan kira-kira satu perlima penghantaran minyak dan gas asli cecair dunia, selain komoditi penting lain termasuk baja.
Sejak perang bermula, Iran berulang kali menegaskan bahawa trafik maritim melalui selat itu tidak akan kembali kepada keadaan sebelum perang dan bulan lalu Teheran memaklumkan ia telah menerima hasil pertama daripada caj tol dikenakan ke atas laluan tersebut.
Pada Sabtu, ketua Suruhanjaya Keselamatan Negara Parlimen Iran, Ebrahim Azizi, berkata Iran menyediakan mekanisme profesional untuk mengurus trafik di selat itu dan ia akan didedahkan tidak lama lagi.-AFP










