HAVANA: Cuba menuduh Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio berbohong selepas beliau menafikan Washington sedang melaksanakan sekatan minyak terhadap Cuba.
Cuba sedang berdepan krisis tenaga sejak Januari, apabila tentera AS menahan Presiden Venezuela dan sekutu Cuba, Nicolas Maduro.
Washington turut mengugut mengenakan tarif ke atas negara yang menghantar minyak mentah ke pulau yang diperintah komunis itu.
Menteri Luar Cuba, Bruno Rodríguez menulis di platform X mendakwa Rubio sudah memilih untuk berbohong dan bertentangan dengan Presiden serta jurucakap Rumah Putih.
Rodríguez memberi respons kepada kenyataan Rubio di Rumah Putih beberapa jam sebelumnya.
“Tiada sekatan minyak ke atas Cuba, secara khususnya. Beginilah situasi Cuba, faham?
“Cuba dahulu menerima minyak percuma dari Venezuela, mereka mengambil kira-kira 60 peratus minyak itu dan menjual semula untuk wang tunai. Ia tidak benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
“Satu-satunya sekatan ialah keputusan Venezuela untuk tidak lagi memberikan minyak percuma kepada Cuba,” kata Rubio ketika menjadi hos sidang media Rumah Putih.
Rodríguez turut mengutuk sekatan tambahan ke atas sektor tenaga Cuba yang diumumkan Presiden AS, Donald Trump pada 1 Mei.
“Setiausaha itu tahu sepenuhnya penderitaan yang sedang dialami rakyat Cuba hari ini,” katanya.
Setakat ini, Washington hanya membenarkan ketibaan satu kapal tangki minyak Russia pada akhir Mac, yang menurut Trump hanyalah penghantaran sekali sahaja.-AFP










