BEIJING: China mengesahkan membeli 200 pesawat Boeing selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dan rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping, bertemu di Beijing minggu lalu.
Kementerian Perdagangan China berkata, di bawah perjanjian itu, AS akan memberi jaminan bekalan untuk bahagian dan komponen enjin pesawat kepada China.
Kedua-dua negara turut bersetuju untuk meneruskan usaha melanjutkan gencatan tarif yang dicapai pada Oktober, selain merancang pengurangan tarif ke atas barangan bernilai AS$30 bilion (RM119 bilion) atau lebih bagi setiap pihak.
Pengumuman itu dibuat ketika Jinping mengadakan pertemuan dengan Presiden Russia, Vladimir Putin, hanya beberapa hari selepas lawatan Trump ke China.
Lawatan tersebut menyaksikan beberapa komitmen perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia, termasuk pembelian pesawat Boeing dan peningkatan akses petani Amerika ke pasaran China.
Ketua Pegawai Eksekutif Boeing, Kelly Ortberg, turut bersama dalam delegasi AS yang mengiringi Trump ke China, termasuk pengasas Tesla, Elon Musk dan Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang.
“Kami melakukan lawatan yang sangat berjaya ke China dan mencapai matlamat utama kami iaitu membuka semula pasaran China untuk tempahan pesawat Boeing.
“Ini termasuk komitmen awal sebanyak 200 pesawat dan mengjangkakan komitmen lanjut akan menyusul selepas ini,” menurut Boeing dalam satu kenyataan.
Pegawai-pegawai dari China dan AS mencapai persetujuan di Kuala Lumpur sebelum pertemuan Trump dan Jinping di Korea Selatan pada Oktober 2025, yang melanjutkan gencatan tarif mereka sehingga November tahun ini.
Perjanjian itu turut merangkumi pengurangan tarif AS ke atas barangan China dan penangguhan sekatan Beijing terhadap eksport mineral nadir bumi serta magnet.- BBC










