AS-Israel serang Iran minggu ini? - Utusan Malaysia

AS-Israel serang Iran minggu ini?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan Israel dijangka menyerang Iran minggu ini selepas Washington secara terbuka memberi isyarat bahawa pilihan untuk menggunakan pendekatan ketenteraan kembali dipertimbangkan.

Presiden AS, Donald Trump pulang dari Beijing pada Jumaat membawa bersama  tekanan yang semakin memuncak selepas rundingan dengan rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping gagal mendapatkan komitmen kuat Beijing untuk  menyebelahinya dalam perang Iran.

Pertemuan itu juga gagal menghasilkan sebarang perkembangan ketara mengenai pembukaan semula Selat Hormuz atau menamatkan kebuntuan berkaitan program nuklear Iran.

CENGKAMAN HORMUZ

Menurut The New York Times, pegawai tertinggi AS sudah merangka pelan serangan baharu terhadap Iran sekiranya Trump memutuskan usaha diplomasi dengan negara itu telah menemui kegagalan.

Laporan itu menyebut tentera AS dan Israel sedang melaksanakan persiapan terbesar sejak gencatan senjata 7 April lalu, dengan kemungkinan bahawa satu serangan baharu akan diadakan seawal minggu ini.

Ketegangan baharu itu tercetus selepas Trump menolak cadangan terbaharu Iran ketika dalam penerbangan pulang dari Beijing.

“Saya melihat cadangan itu dan jika saya tidak suka ayat pertama, saya terus buang,” kata Trump kepada wartawan di atas pesawat rasminya, Air Force One, menurut Reuters.

Presiden AS itu berkata, beliau membincangkan isu Iran dengan Jinping memandangkan China sangat bergantung kepada penghantaran minyak dan gas melalui Selat Hormuz.

Bagaimanapun, Trump mengaku beliau tidak secara langsung meminta Jinping menekan Teheran. China juga tidak memberikan komitmen terbuka untuk campur tangan secara konkrit walaupun Washington dan Beijing mahu laluan strategik itu dibuka semula.

Kementerian Luar China sekadar berkata, konflik itu tidak sepatutnya berlaku dan tiada sebab untuk diteruskan.

Iran secara efektif menutup Selat Hormuz kepada kebanyakan kapal dagang selepas serangan AS-Israel yang bermula pada 28 Februari.

Walaupun gencatan senjata diumumkan pada 7 April, Teheran terus menyatakan selat itu akan dibuka jika  tentera laut AS menamatkan sekatan terhadap pelabuhan Iran.

Sebelum perang tercetus, hampir satu perlima bekalan minyak dan gas asli cecair dunia melalui selat sempit itu.

Trump berulang kali memberi amaran AS boleh menyambung semula tindakan ketenteraan sekiranya laluan perkapalan tidak kembali normal di Selat Hormuz.

“Kami tidak mahu mereka (Iran) memiliki senjata nuklear, kami mahu selat itu dibuka,” kata Trump semasa lawatannya ke Beijing.

PENINGKATAN KETENTERAAN

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula menyatakan perang belum berakhir dan  bahan nuklear serta tapak pengayaan uranium Iran masih perlu dimusnahkan sebelum konflik benar-benar tamat.

Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth minggu lalu mengesahkan Washington sudah menyediakan pelan untuk meningkatkan atau meredakan konflik.

“Kami mempunyai pelan untuk meningkatkan serangan jika perlu,” katanya kepada wakil-wakil rakyat  AS.

Menurut The New York Times, antara pilihan yang dipertimbangkan termasuk kempen pengeboman lebih meluas terhadap infrastruktur ketenteraan Iran dan operasi khas menyasarkan bahan nuklear yang ditanam jauh di bawah tanah di Isfahan.

Pegawai AS memberitahu akhbar itu, beberapa ratus anggota Pasukan Operasi Khas telah ditempatkan awal tahun ini khusus bagi mengekalkan pilihan tersebut.

Walaupun gencatan senjata masih berkuat kuasa, AS terus mengekalkan kehadiran ketenteraan besar di rantau Asia Barat

Pengerusi Ketua Turus Bersama AS, Dan Caine berkata, lebih 50,000 askar, dua kapal induk, kapal pemusnah tentera laut dan puluhan pesawat tempur kekal bersedia untuk operasi berskala besar jika diarahkan menyerang Iran

Laporan itu turut menyebut Iran telah memulihkan akses kepada sebahagian besar infrastruktur persenjataannya termasuk 30 daripada 33 tapak peluru berpandu di sepanjang Selat Hormuz.

Pegawai Iran turut memberi amaran mereka bersedia menghadapi sebarang permusuhan baharu.

“Angkatan bersenjata kami bersedia memberikan tindak balas sewajarnya terhadap sebarang pencerobohan,” kata Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf.

Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi pula berkata, Teheran masih terbuka kepada diplomasi tetapi tidak lagi mempercayai Washington selepas rundingan terdahulu terganggu akibat serangan ketenteraan.

Konflik berpanjangan itu kini semakin menjadi beban politik kepada Trump menjelang pilihan raya Kongres AS hujung tahun ini.

Walaupun beliau berulang kali mengisytiharkan kempen ketenteraan itu berjaya, pengkritik menegaskan Iran masih belum menyerahkan program nuklearnya dan Selat Hormuz juga belum dibuka sepenuhnya.

Harga minyak kembali meningkat pada Jumaat di tengah-tengah kebimbangan konflik itu bakal bertambah buruk sekiranya usaha diplomasi gagal sepenuhnya, menurut Reuters.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN