WASHINGTON/TEHERAN: Amerika Syarikat (AS) dan Iran berusaha pada Ahad untuk memuktamadkan satu perjanjian bagi menamatkan secara rasmi perang di Asia Barat selepas Presiden AS, Donald Trump berkata bahawa cadangan yang merangkumi pembukaan semula Selat Hormuz yang disekat, sebahagian besarnya telah dirundingkan.
Bagaimanapun, presiden AS itu menyatakan perjanjian tersebut masih tertakluk untuk dimukatamadkan manakala akhbar The New York Times melaporkan kedua-dua pihak hanya akan membincangkan isu rumit berkaitan program nuklear Iran selepas satu perjanjian awal dicapai.
“Satu perjanjian sebahagian besarnya telah dirundingkan, tertakluk untuk dimuktamadkan antara AS, Republik Islam Iran dan pelbagai negara lain,” tulis Trump di platform Truth Social pada Sabtu.
“Selain banyak lagi elemen dalam perjanjian itu, Selat Hormuz akan dibuka,” katanya,.
MELEGAKAN
Kenyataan itu merupakan satu perkembangan yang dijangka melegakan pasaran tenaga global selepas sekatan berbulan-bulan oleh Iran terhadap laluan penting penghantaran minyak itu.
Trump berkata, pemimpin dari beberapa negara Asia Barat termasuk Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Mesir, Jordan, Bahrain dan wakil dari Turkiye serta Pakistan menyertai panggilan telefon dengan Trump untuk membincangkan perjanjian itu pada Sabtu, kata presiden AS tersebut.
Beliau berkata, panggilan berasingan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berjalan dengan sangat baik.
Serangan AS-Israel ke atas Iran pada 28 Februari mencetuskan perang itu dengan pertempuran berlanjutan selama beberapa minggu sebelum gencatan senjata sementara berkuat kuasa pada 8 April.
“Aspek dan butiran akhir perjanjian itu sedang dibincangkan ketika ini dan akan diumumkan tidak lama lagi,” kata Trump tanpa memberikan penjelasan lanjut.
The New York Times, memetik pegawai Amerika yang tidak dinamakan, melaporkan bahawa butiran mengenai komitmen jelas Teheran untuk melepaskan stok uranium diperkaya tinggi miliknya akan dibincangkan selepas perjanjian awal dicapai.
Laporan itu menyebut cadangan semasa tidak menjelaskan secara terperinci bagaimana Teheran akan menyerahkan stok bahan api penting untuk pembinaan senjata nuklear itu, satu keadaan yang sejak sekian lama diperkatakan Washington sebagai tidak boleh diterima di Iran.
SELAT HORMUZ
Bagaimanapun, agensi berita separa rasmi Iran, Fars mempertikaikan dakwaan Trump bahawa Selat Hormuz akan dibuka semula sebagai sebahagian daripada kemungkinan perjanjian damai dengan Teheran dan menyifatkan kenyataan itu sebagai jauh daripada realiti.
Fars berkata bahawa berdasarkan teks pertukaran pelan damai terbaru, laluan lau strategik itu akan kekal di bawah pengurusan Iran jika satu perjanjian dicapai.
“Berdasarkan teks pertukaran terbaru, jika perjanjian dicapai, Selat Hormuz masih akan berada di bawah pengurusan Iran,” lapor Fars.
Laporan itu berkata Iran telah bersetuju untuk membenarkan jumlah kapal yang melalui Selat Hormuz kembali ke tahap sebelum perang.
Namun, Fars menyatakan bahawa ini tidak bermaksud kembali kepada ‘laluan bebas’ seperti sebelum perang.
“Walaupun Iran telah bersetuju untuk membenarkan jumlah kapal yang melalui kembali ke tahap sebelum perang, ini sama sekali tidak bermaksud ‘laluan bebas’ seperti keadaan sebelum perang,” katanya.
Agensi itu berkata, pengurusan selat tersebut, termasuk laluan, masa, cara perlintasan dan pengeluaran permit, akan kekal di bawah kawalan Iran.
“Pengurusan selat itu, penentuan laluan, masa, cara lintasan dan pengeluaran permit akan kekal sepenuhnya di bawah kawalan dan budi bicara Republik Islam Iran,” lapor Fars.
Ia menyifatkan dakwaan Trump sebagai tidak lengkap dan tidak selaras dengan realiti.
Dalam pada itu, Pakistan, yang menjadi pengantara rundingan bersemuka bersejarah antara delegasi AS dan Iran pada April, berharap dapat menjadi tuan rumah kepada satu lagi pusingan rundingan dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri, Shehbaz Sharif.
Beliau berkata, ketua tentera Pakistan, Asim Munir, yang melawat Teheran pada Jumaat, turut menyertai panggilan telefon tersebut yang memberikan peluang berguna untuk bertukar pandangan mengenai. bagaimana meneruskan usaha damai yang sedang berjalan demi membawa keamanan berkekalan di rantau itu. – AFP/AGENSI










