DUBLIN: Seorang sukarelawan, Dr. Margaret Connolly yang merupakan adik kepada Presiden Ireland, Catherine Connolly adalah antara lapan warga Ireland yang dipintas Israel di atas kapal flotila bantuan menuju ke Gaza, menurut penganjur pada Isnin.
Tentera Israel memintas flotila itu pada Isnin selepas ia belayar dari Turkiye minggu lalu, dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengecam misi tersebut sebagai rancangan berniat jahat yang bertujuan menyokong pejuang Hamas.
Kapal-kapal Global Sumud Flotilla merupakan usaha terbaharu dalam siri percubaan aktivis untuk menembusi sekatan Israel ke atas wilayah Palestin itu.
Kira-kira 50 kapal berlepas dari barat daya Turkiye pada Khamis.
“Global Sumud Flotilla sedang diserang!” tulis kumpulan itu di X.
“Penjajah Israel sekali lagi secara haram dan ganas memintas armada antarabangsa kapal kemanusiaan kami dan menculik sukarelawan kami,” tambah kumpulan tersebut.
Margaret adalah antara mereka yang ‘diculik secara haram’ oleh Israel, menurut penganjur dalam kenyataan kepada AFP.
“Lapan rakyat Ireland telah ditahan secara haram dalam operasi ini,” katanya.
Pesiden Ireland yang sedang dalam lawatan rasmi ke United Kingdom berkata kepada wartawan selepas pertemuan di London dengan pemerintah England, Raja Charles III bahawa berita itu menyedihkan.
“Saya amat bimbang tentang dirinya dan saya juga sangat prihatin terhadap rakan-rakannya di atas kapal,” katanya sambil menambah beliau tidak mempunyai butiran lanjut.
Video yang dimuat naik penganjur di media sosial menunjukkan Margaret dan lima individu lain dalam rakaman video yang dipercayai dibuat sebelum mereka ditahan.
Dalam videonya, Margaret berkata: “Jika anda menonton video ini, ini bermakna saya telah diculik dari kapal saya dalam flotila ini oleh tentera Israel.”
Menurut penganjur: “Penyertaan dalam flotila ini adalah keputusan peribadinya sendiri dan tidak ada kaitan dengan Presiden Connolly.”
Ireland merupakan antara negara yang paling lantang mengkritik pengeboman Israel di Gaza dan mengiktiraf negara Palestin pada 2024. – AFP/AGENSI










