WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Jumaat meminta wakil-wakil rakyat meluluskan bajet pertahanan yang besar berjumlah AS$1.5 trilion (RM6 trilion) bagi tahun 2027.
Permintaan itu dibuat ketika Amerika berdepan kos yang semakin meningkat susulan peperangannya dengan Iran dan komitmen keselamatan global yang kian bertambah.
Trump menggambarkan peningkatan peruntukan pertahanan itu sebagai sesuatu yang mendesak.
Beliau berhujah bahawa pelaburan ketenteraan mesti diberi keutamaan ketika perang, walaupun ia terpaksa mengorbankan program sosial persekutuan.
“Tidak mungkin bagi kami untuk menjaga penjagaan kanak-kanak, Medicaid (program insurans kesihatan) dan Medicare (program kesihatan warga emas),” kata Trump dalam satu acara tertutup baru-baru ini.
Cadangan itu akan meningkatkan perbelanjaan Jabatan Pertahanan atau Pentagon sebanyak lebih 40 peratus dalam tempoh setahun.
Ia merupakan kenaikan paling mendadak sejak Perang Dunia Kedua ketika Washington berusaha meneruskan operasi ketenteraan dan membina semula stok senjata yang semakin susut.
Permintaan tersebut menonjolkan tekanan kewangan yang semakin memuncak akibat konflik yang kini memasuki minggu kelima.
Media Amerika memetik taklimat tertutup Kongres AS melaporkan bahawa perang dengan Iran mungkin menelan belanja sehingga AS$2 bilion (RM8 bilion) sehari.
Ia menggambarkan besarnya beban yang ditanggung, bahkan sebelum mengambil kira kos pembinaan semula dan bekalan semula untuk jangka panjang.
Bagi menampung sebahagian peningkatan itu, pentadbiran mencadangkan kira-kira AS$73 bilion (RM294 bilion) pemotongan perbelanjaan bukan pertahanan, sekitar 10 peratus yang menyasarkan pelbagai program domestik termasuk inisiatif alam sekitar, bantuan perumahan dan pembiayaan pendidikan. – AFP










