WASHINGTON: Presiden Donald Trump berikrar pada Rabu untuk menyerang Iran secara tanpa henti dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang dan berkata bahawa pasukan Amerika Syarikat (AS) hampir mencapai penyelesaian perang.
“Dalam dua hingga tiga minggu akan datang, kami akan membawa mereka kembali ke Zaman Batu, di mana mereka patut berada,” kata Trump dalam ucapannya kepada rakyat AS.
Beliau menambah bahawa pasukan AS akan mencapai semua matlamat di medan perang mereka dengan sangat cepat selepas perang tersebut bermula pada 28 Februari lalu dengan penglibatan Israel.
Trump berkata bahawa Amerika sedang hampir mencapai penyelesaian terhadap objektifnya dalam perang menentang Iran dan memuji pasukan AS kerana meraih kemenangan luar biasa dalam konflik itu.
“Malam ini (semalam), saya gembira untuk menyatakan bahawa objektif strategik teras ini hampir mencapai penyelesaian,” kata Trump dalam ucapan waktu perdana pertamanya sejak permulaan konflik pada akhir Februari.
“Dalam empat minggu lalu, pasukan bersenjata kita telah menyampaikan kemenangan yang pantas, tegas dan luar biasa di medan perang, kemenangan seperti yang jarang dilihat oleh orang ramai sebelum ini,” tambahnya.
Dalam ucapan malam dari Rumah Putih, Washington DC, Trump tidak memperkenalkan maklumat baharu mengenai bagaimana perang Iran akan berakhir.
“Kami akan menyelesaikan tugasan ini dan kami akan menyelesaikannya dengan sangat cepat. Kami sudah sangat hampir,” katanya, dalam ucapan yang banyak mengulangi siaran media sosial harian dan temu bual media pantasnya.
Namun, dengan rating kelulusannya mencapai tahap rendah baharu dan rakyat Amerika merasai kesan daripada kenaikan harga minyak, Trump menawarkan penjelasan mengapa beliau menyertai Israel dalam serangan ke atas Iran.
Trump berkata, Amerika bertujuan untuk menghancurkan tentera Iran, menghentikan sokongan negara teokratik itu terhadap kumpulan bersenjata serantau dan menghalang Teheran memperoleh bom nuklear.
Israel pada hari pertama konflik telah membunuh pemimpin tertinggi Iran yang lama, Ayatollah Ali Khamenei dan Trump menyatakan rasa bangga bahawa pemimpin mereka, kebanyakannya di Iran telah terbunuh.
Namun, Iran juga bertindak balas dengan menguasai Selat Hormuz, laluan masuk ke Teluk bagi seperlima minyak dunia, yang sebelum perang masih terbuka kepada kapal-kapal dagang.
Harga petrol di AS telah meningkat melebihi AS$1 (RM4.2) seliter untuk pertama kali dalam beberapa tahun, manakala keyakinan pengguna merosot, menjejaskan kedudukan Trump yang sudah ‘rapuh’ dari segi ekonomi. – AFP










