WASHINGTON: Rumah Putih mengecam golongan yang disifatkannya sebagai liberal yang tidak waras kerana menyebarkan teori konspirasi bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah dimasukkan ke sebuah hospital pada Sabtu.
Keadaan kesihatan presiden dari Parti Republikan itu terus menjadi tumpuan sepanjang penggal keduanya, dengan rakyat Amerika meneliti pelbagai kesilapan kenyataan awam dan masalah kesihatan yang dilaporkan.
Spekulasi mengenai lawatan ke hospital itu timbul selepas Rumah Putih mengumumkan pada pukul 11.08 pagi waktu tempatan Sabtu bahawa presiden tidak akan membuat sebarang kemunculan awam bagi baki hari tersebut.
Ia merupakan keputusan yang jarang berlaku bagi Trump kerana beliau kebiasaannya ke resort Mar-a-Lago miliknya untuk bermain golf pada hujung minggu.
Akaun rasmi Rapid Response 47 di platform X mengeluarkan beberapa penafian keras selepas khabar angin tersebar di media sosial bahawa presiden telah dikejarkan ke Pusat Perubatan Walter Reed, Washington DC.
Salah satu ciapan itu berbunyi: “Golongan liberal yang tidak waras mencipta teori konspirasi gila apabila @POTUS (Presiden AS) tidak bercakap kepada media selama 12 jam. Jangan bimbang! Trump secara literal tidak pernah berhenti bekerja.”
Rumah Putih turut memberi maklum balas terhadap satu hantaran oleh pengulas politik liberal, Ed Krassenstein, selepas beliau berkongsi ciapan di X: “Spekulasi semakin meningkat bahawa Donald Trump berada di Pusat Perubatan Walter Reed.”
Akaun Rapid Response 47 membalas: “Tidak, anda cuma seorang yang sangat bodoh.”
Pengarah Komunikasi Rumah Putih, Steven Cheung, tidak secara langsung merujuk kepada khabar angin mengenai Trump dimasukkan ke hospital, namun beliau berkongsi satu hantaran di X pada petang Sabtu yang dilihat bertujuan menangkis dakwaan tersebut. – AGENSI










