KYIV: Russia melancarkan lebih banyak dron ke atas Ukraine pada Mac berbanding mana-mana bulan sejak Moscow memulakan pencerobohan pada 2022, Ia menyebabkan serangan maut diperhebatkan ketika rundingan damai menemui jalan buntu.
Menurut analisis AFP berdasarkan laporan harian diterbitkan tentera udara Ukraine itu menunjukkan Russia melancarkan sekurang-kurangnya 6,462 dron jarak jauh ke Ukraine bulan lalu.
Ia meningkat hampir 28 peratus berbanding Februari dan merupakan kenaikan bulanan kedua berturut-turut.
Dalam tempoh sama, Russia melancarkan 138 peluru berpandu ke Ukraine, iaitu penurunan sekitar 52 peratus berbanding bulan sebelumnya, menurut data tersebut.
Daripada jumlah peluru berpandu dan dron itu, tentera udara Ukraine memaklumkan hampir 90 peratus berjaya dipintas, kadar pemintasan tertinggi sejak Februari 2025, menurut data berkenaan.
Data itu turut merangkumi satu serangan siang hari yang jarang berlaku pada 24 Mac, yang mengorbankan lapan orang serta merosakkan bandar Lviv di barat Ukraine yang dilindungi Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), menurut pihak berkuasa.
Rundingan yang diketuai AS bagi menamatkan perang yang kini memasuki tahun keempat itu menemui jalan buntu pada Mac, apabila Washington mengalihkan tumpuan kepada konflik dengan Iran.
Russia, yang menafikan menyasarkan orang awam, telah meningkatkan pengeluaran dronnya ke skala perindustrian sejak perang bermula.
Sebagai tindak balas, Ukraine berusaha memperkukuh pertahanan udaranya, termasuk mengerahkan dron pemintas kos rendah untuk memusnahkan dron Russia. -AFP










