Presiden tertua lantik timbalan buat kali pertama - Utusan Malaysia

Presiden tertua lantik timbalan buat kali pertama

BIYA akan melantik timbalannya buat pertama kali. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAOUNDE: Presiden Cameroon, Paul Biya yang merupakan pemimpin tertua di dunia akan melantik seorang naib presiden buat kali pertama dalam tempoh empat dekad pemerintahannya.

Pelantikan itu dibuat susulan pindaan perlembagaan kontroversi yang diluluskan Parlimen.

Melalui pindaan ini, sekiranya berlaku sebarang perkara luar jangka terhadap Biya yang kini berusia 93 tahun, naib presiden akan secara automatik mengambil alih jawatan dan menghabiskan baki tempoh penggal sebelum pilihan raya baharu diadakan.

Jawatan naib presiden sebelum ini telah dimansuhkan pada tahun 1972. 

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mengikut undang-undang asal, Yang Dipertua Dewan Senat sepatutnya memangku jawatan presiden sekiranya berlaku kekosongan.

Namun, ia hanya bersifat sementara sehingga pilihan raya baharu diuruskan.

Pihak pembangkang mendakwa pindaan tersebut digubal secara tergesa-gesa dan bertujuan untuk mengukuhkan kuasa sedia ada. Malah, seorang senator daripada parti pimpinan Biya sendiri menyifatkan proses pindaan tersebut sebagai mencurigakan.

Kesihatan Biya sering menjadi subjek spekulasi hangat secara tertutup. Bagaimanapun, membincangkannya secara terbuka dianggap sebagai pantang larang di negara itu. 

Beliau sering menyangkal khabar angin mengenai kematiannya dengan muncul di khalayak ramai selepas tempoh kehilangan yang lama.

Dalam sidang bersama kedua-dua dewan parlimen pada Sabtu, rang undang-undang pindaan perlembagaan itu diluluskan dengan 200 ahli parlimen menyokong, 18 menentang, manakala empat berkecuali. 

Ia kini hanya menunggu tandatangan rasmi presiden untuk dikuatkuasakan.

Penyokong pindaan berhujah bahawa langkah ini akan meningkatkan kecekapan kerajaan kerana ia memperkasakan tahap representasi apabila seorang pegawai perlu menggantikan presiden.  – BBC 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN