BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul pada Jumaat mengecam peniaga minyak kerana mengaut keuntungan secara berlebihan.
Beliau menyalahkan pihak yang menyorok bekalan bahan api atau menyeludupnya ke luar negara atas kekurangan bekalan yang menyebabkan harga terus meningkat.
“Pihak berkuasa telah menemui kes penyorokan bahan api dan penyeludupan untuk dijual di negara jiran,” kata Anutin Charnvirakul, sambil menambah bahawa masalah itu telah menyebabkan kerajaan menanggung kerugian sebanyak 50 bilion baht (RM6 bilion).
“Tindakan ini (penyeludupan dan penyorokan) merupakan pengambilan untung berlebihan daripada kenaikan harga minyak semasa krisis tenaga global,” tambahnya.
Beliau menyifatkannya sebagai faktor utama di sebalik kekurangan bahan api di seluruh negara yang berlaku dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Anutin berkata, bukti penyorokan dan pengautan keuntungan dalam kalangan peniaga minyak berskala besar dan sederhana telah ditemukan di darat dan di laut.
Beliau berkata, beberapa penghantaran melalui laut telah sengaja dilambatkan supaya bahan api tidak tiba mengikut jadual, membolehkan penjual menunggu kenaikan harga runcit.
Penghantaran lain pula telah dialihkan untuk disimpan dan dipercayai ditujukan ke negara jiran.
Lebih 57 juta liter bahan api dilaporkan hilang semasa pengangkutan laut di selatan Thailand, kata Menteri Kehakiman, Rutthaphon Naowarat.
Menurut perdana menteri, Jabatan Siasatan Khas sedang menyiasat perkara itu sebagai kes khas.
Dakwaan penyorokan ini berlaku ketika orang ramai semakin marah terhadap kenaikan harga bahan api berturut-turut pada akhir Mac dan awal April.
Harga bahan api di Thailand kini mencecah paras tertinggi dalam sejarah, dengan petrol tanpa plumbum pada 57.51 baht (RM7) seliter dan diesel pada 47.74 baht (RM5.88) seliter.
Perang di Asia Barat yang dicetuskan oleh serangan AS dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari, telah menyebabkan gangguan bekalan minyak dan gas serta turun naik harga di kebanyakan negara-negara Asia Tenggara. – AFP










