PM New Zealand menang undi percaya - Utusan Malaysia

PM New Zealand menang undi percaya

CHRISTOPHER LUXON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WELLINGTON: Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon berjaya mengekalkan kedudukannya selepas menang undi percaya pada Selasa, susulan prestasi buruk dalam tinjauan pendapat yang mencetuskan spekulasi mengenai masa depannya.

Pemimpin Parti Nasional New Zealand berhaluan tengah-kanan itu mengadakan undian tersebut ketika kerajaannya ketinggalan dalam tinjauan menjelang pilihan raya umum November ini.

Luxon berkata, selepas mesyuarat hampir tiga jam bersama ahli kaukus partinya, beliau masih mendapat sokongan.

“Saya mengemukakan usul rasmi undi percaya terhadap kepimpinan saya. Usul itu diluluskan, mengesahkan apa yang saya katakan sebelum ini. Saya mendapat sokongan kaukus saya sebagai pemimpin,” katanya.

Luxon bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah undi yang diperoleh, tetapi mendakwa beliau mendapat sokongan sebulat suara daripada ahli parlimennya.

Keputusan undian akhir dirahsiakan, termasuk daripada Luxon sendiri. Hanya ahli parti yang hadir dalam mesyuarat kaukus dibenarkan mengundi.

Beberapa ahli tidak dapat hadir secara fizikal akibat cuaca buruk yang menyebabkan banyak penerbangan ke ibu negara Wellington dibatalkan.

Persoalan mengenai kepimpinan Luxon semakin memuncak sejak beberapa bulan kebelakangan ini apabila sokongan partinya jatuh di bawah 30 peratus dalam tinjauan pendapat. Kadar kelulusan peribadi beliau juga merosot dengan ketara.

Laporan media minggu lalu menyebut beberapa ahli kaukusnya tidak berpuas hati dengan kepimpinannya, dengan ada dalam kalangan mereka berisiko kehilangan kerusi parlimen berdasarkan keputusan tinjauan semasa.

Luxon bagaimanapun menyifatkan spekulasi mengenai masa depannya sebagai ‘drama media’.

“Jika media mahu terus memberi tumpuan kepada spekulasi dan khabar angin, saya tidak akan melayaninya,” katanya.

Menteri Pengangkutan, Chris Bishop yang dikhabarkan pernah mempertimbangkan untuk mencabar kepimpinan Luxon tahun lalu berkata, beliau telah mengundi menyokongnya selepas perbincangan yang baik, jujur dan tegas.

“Kini kami bergerak ke hadapan bersama sebagai satu pasukan yang bersatu,” katanya.

Menteri Luar, Winston Peters yang juga pemimpin parti populis New Zealand First, bagaimanapun menyifatkan undi percaya itu sebagai ‘karut yang didorong oleh ego’.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN