Komando AS didakwa masuk ke wilayah Iran - Utusan Malaysia

Komando AS didakwa masuk ke wilayah Iran

SEBUAH bangunan musnah akibat serangan AS-Israel di Teheran semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Komando-komaando khas Amerika Syarikat (AS) telah dikerahkan jauh ke dalam wilayah Iran untuk menyelamatkan seorang anggota udara selepas jetnya terhempas, lapor media AS pada Ahad.

Pendedahan itu dibuat  beberapa jam selepas Presiden Donald Trump mengumumkan bahawa anggota kru itu telah ditemui dalam keadaan selamat dan sihat.

Teheran minggu ini berkata ia telah menembak jatuh sebuah pesawat pejuang F-15.

Ia merupakan jet pejuang AS pertama jatuh di dalam Iran sejak permulaan perang. Washington masih belum mengesahkan butiran mengenai bagaimana pesawat itu ditembak jatuh.

Trump pada awal Ahad berkata, tentera AS telah melaksanakan salah satu Operasi Mencari dan Menyelamat yang paling berani dalam sejarah Amerika.

Katanya,  operasi menyelamat itu untuk salah seorang pegawai kru kami yang luar biasa. Menurut Trump, pegawai itu juga merupakan seorang kolonel yang sangat dihormati. “Saya amat gembira untuk memaklumkan bahawa beliau kini selamat dan sihat,” tulis presiden tersebut dalam media sosial, Truth Social.

Pasukan komando Navy Seal Team 6 ditugaskan untuk mengeluarkan anggota udara itu, manakala pesawat serangan AS menggugurkan bom dan melepaskan tembakan ke arah konvoi Iran bagi menghalang mereka daripada menghampiri, menurut laporan The New York Times yang memetik seorang pegawai.

Anggota udara tersebut, seorang pegawai sistem senjata, mengalami kecederaan selepas melenting keluar dari pesawat tetapi masih mampu berjalan, serta berjaya mengelak daripada ditangkap di kawasan pergunungan selama lebih sehari, menurut portal berita Axios yang memetik seorang pegawai AS.

Anggota tentera udara itu dilengkapi dengan sepucuk pistol, suar pengesan dan peranti komunikasi selamat untuk berhubung dengan pasukan penyelamat, lapor The New York Times.

Komando Amerika yang menghampiri pegawai tersebut melepaskan tembakan untuk menjauhkan pasukan Iran dari lokasi penyelamatan, menurut laporan akhbar itu.

Trump menulis di platform Truth Social bahawa beliau telah mengarahkan tentera AS menghantar berpuluh-puluh pesawat, dilengkapi senjata paling berbahaya di dunia, untuk membawanya keluar dari Iran.

“Beliau mengalami kecederaan, tetapi akan pulih dengan baik,” tulis Trump.

Dua daripada pesawat yang sepatutnya membawa anggota udara itu dan pasukan penyelamat ke tempat selamat terkandas di sebuah pangkalan terpencil di Iran dan terpaksa dimusnahkan bagi mengelakkannya jatuh ke tangan Iran, menurut laporan The New York Times dan CBS.

Pasukan AS kemudian menggunakan tiga lagi pesawat pengangkut untuk membawa keluar anggota udara itu bersama pasukan penyelamat dari Iran.

Tentera Iran pada Ahad berkata operasi penyelamatan AS itu menggunakan sebuah lapangan terbang terbiar di selatan wilayah Isfahan.

“Operasi yang kononnya misi penyelamatan tentera AS, yang dirancang sebagai misi helah dan pelarian di sebuah lapangan terbang terbiar di selatan Isfahan dengan alasan mendapatkan juruterbang pesawat yang ditembak jatuh, telah digagalkan sepenuhnya,” kata jurucakap pemerintah pusat tentera Iran, Ebrahim Zolfaghari.

Zolfaghari turut mendakwa dua pesawat pengangkut tentera C-130 dan dua helikopter Black Hawk milik AS telah dimusnahkan.

AFP telah menghubungi Rumah Putih dan Pentagon untuk mendapatkan komen. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN