NAYPYIDAW: Parlimen Myanmar mengumumkan pemilihan Ketua Junta, Min Aung Hlaing sebagai Presiden menyebabkan bekas panglima tentera itu terus memerintah selepas merampas kuasa secara paksa lima tahun lalu.
Jeneral yang menyingkirkan demokrasi pada 2021 dengan menahan tokoh pilihan rakyat, Aung San Suu Kyi dan membubarkan partinya, dilantik oleh ahli Parlimen pro-tentera melalui pilihan raya terkini yang dikawal junta pimpinannya.
Undian pada Jumaat di Dewan Tinggi dan Rendah Parlimen di ibu negara Naypyidaw menyaksikan Aung Hlaing memperoleh majoriti besar berbanding calon kedua dalam pertandingan tiga penjuru.
“Kami dengan ini mengumumkan Jeneral Kanan Min Aung Hlaing sebagai Presiden,” kata Pengerusi Parlimen, Aung Lin Dwe dari pentas dewan Parlimen.
Beliau menerima 429 undi daripada 584 undi yang dikira, menurut seorang pegawai Parlimen selepas pengiraan selesai.
Walaupun junta memuji pembukaan semula Parlimen bulan lalu sebagai pemulangan kuasa kepada rakyat, penganalisis menggambarkannya sebagai hiasan awam semata-mata untuk menutup pemerintahan tentera yang berterusan.
Parti Bersatu Solidariti dan Pembangunan (USDP) pro-tentera memenangi lebih 80 peratus kerusi Parlimen yang dipertandingkan dalam pilihan raya yang tamat pada akhir Januari,.
Suu Kyi yang amat popular ditahan sejak rampasan kuasa Februari 2021. Sebarang kritikan atau protes terhadap pilihan raya diharamkan dan pengundian di kawasan dikuasai pemberontak yang bangkit menentang tentera disekat.
Aung Hlaing dijangka mengambil alih kuasa sebagai Presiden bulan ini. Dua pesaingnya, Perdana Menteri, Nyo Saw dan Ahli Parlimen Karen, Nan Ni Ni Aye mewakili USDP akan berkhidmat di bawahnya sebagai Naib Presiden.
Dalam tempoh pemerintahan darurat pasca rampasan kuasa, Aung Hlaing berkhidmat sebagai panglima tentera. Namun, untuk menjadi presiden beliau terpaksa melepaskan jawatan ketenteraannya. Beliau menyerahkan kawalan tentera kepada setiausaha lama dan bekas ketua perisikan, Ye Win Oo pada Isnin lalu. – AFP










