TEHERAN: Beberapa letupan kedengaran di beberapa kawasan di Teheran dan bandar berhampiran, Karaj, lapor media Iran awal Selasa.
“Sebentar tadi, letupan kedengaran di beberapa kawasan di Teheran dan Karaj,” menurut media tempatan Fars dan Mehr menerusi Telegram, tanpa memberikan butiran lanjut.
Sementara itu, tentera Israel mengumumkan satu gelombang serangan udara ke atas Iran.
Pengumuman itu dibuat selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyatakan bahawa cadangan gencatan senjata untuk menamatkan perang AS-Israel terhadap Iran yang dikemukakan oleh pengantara antarabangsa masih belum mencukupi.
“Sebentar tadi, IDF (Pasukan Pertahanan Israel) telah menyelesaikan satu gelombang serangan udara dengan tujuan merosakkan infrastruktur rejim Iran di Teheran dan beberapa kawasan lain di seluruh Iran,” kata tentera Israel menerusi saluran Telegram rasminya.
Dalam pada itu, pertahanan udara Arab Saudi telah memintas dan memusnahkan tujuh peluru berpandu balistik yang dilancarkan ke arah bahagian timur negara itu, kata jurucakap Kementerian Pertahanan pada Selasa.
Kementerian itu berkata menerusi platform X bahawa tujuh peluru berpandu balistik yang dilancarkan ke arah wilayah timur telah berjaya dipintas dan dimusnahkan.
“Sebahagian serpihan peluru berpandu balistik telah jatuh di sekitar kemudahan tenaga elektrik. Penilaian kerosakan sedang dijalankan,” kata kementerian itu. – AFP










