TEHERAN: Iran pada Khamis mengumumkan laluan alternatif bagi kapal-kapal yang melalui Selat Hormuz, dengan menyatakan risiko kewujudan periuk api laut di zon utama laluan perairan penting itu.
Teheran telah bersetuju untuk membuka semula selat tersebut buat sementara waktu, yang biasanya menjadi laluan bagi satu perlima daripada bekalan minyak dunia, sebagai sebahagian daripada gencatan senjata selama dua minggu.
“Semua kapal yang berhasrat untuk melalui Selat Hormuz dimaklumkan bahawa bagi mematuhi prinsip keselamatan maritim dan untuk dilindungi daripada kemungkinan perlanggaran dengan periuk api laut, mereka hendaklah menggunakan laluan alternatif bagi trafik di Selat Hormuz,” kata Pasukan Pengawal Revolusi Iran dalam satu kenyataan yang dipetik media tempatan.
Kenyataan itu turut berkongsi arahan bagi laluan masuk dan keluar alternatif melalui selat tersebut.
Amerika Syarikat (AS) dan Iran bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata selama dua minggu, kurang sejam sebelum tarikh akhir yang ditetapkan oleh Presiden AS, Donald Trump untuk memusnahkan republik Islam itu jika ia tidak akur kepada tuntutannya bagi satu perjanjian untuk membuka semula Selat Hormuz.
Teheran telah menutup secara efektif laluan perkapalan utama itu sejak awal Mac, menyebabkan harga tenaga global melonjak dengan mendadak. – AFP










