TEHERAN: Agensi berita Fars milik Iran melaporkan pada Jumaat bahawa pihak tentera telah melancarkan operasi pencarian juruterbang jet pejuang Amerika Syarikat (AS) yang ditembak oleh sistem pertahanan udara.
Ketika dihubungi AFP, Markas Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM), yang bertanggungjawab terhadap operasi ketenteraan di Asia Barat, tidak memberikan maklum balas segera terhadap permintaan untuk mendapatkan komen.
“Pasukan tentera telah melancarkan operasi pencarian juruterbang jet pejuang Amerika yang ditembak awal hari ini (senalam),” kata Fars.
Sebuah stesen televisyen tempatan menyiarkan rakaman yang didakwa menunjukkan serpihan pesawat pejuang AS yang terhempas.
Ia menyatakan bahawa pesawat itu disasarkan di kawasan tengah Iran dan mungkin terhempas di wilayah Kohgiluyeh dan Boyer-Ahmad, menurut kenyataan polis.
Kenyataan itu menggesa penduduk di kawasan berkenaan supaya turut serta dalam usaha mencari juruterbang tersebut, dengan menawarkan ganjaran bagi penangkapan mana-mana anggota tentera Amerika.
Insiden ini merupakan laporan pertama mengenai sebuah jet pejuang AS ditembak jatuh di wilayah Iran sejak Amerika dan Israel melancarkan perang terhadap republik Islam itu pada 28 Februari. – AFP










