Iran secara rasmi tolak gencatan senjata Trump - Utusan Malaysia

Iran secara rasmi tolak gencatan senjata Trump

JAMBATAN B1 dimusnahkan oleh jet AS di Karaj pada 3 April lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran telah menolak cadangan gencatan senjata dalam peperangannya dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel, lapor media kerajaan pada Isnin.

Gencatan senjata itu ditolak meskipun Presiden AS, Donald Trump, mengeluarkan ancaman keras untuk memusnahkan infrastruktur penting negara itu.

“Iran telah menyampaikan kepada Pakistan responsnya terhadap cadangan Amerika untuk menamatkan perang,” menurut agensi berita IRNA, tanpa mendedahkan kandungan tawaran AS tersebut.

Beberapa negara bertindak sebagai pengantara dalam usaha menghentikan lebih lima minggu pertempuran yang tercetus susulan serangan AS-Israel ke atas Iran.

Teheran kemudian bertindak balas dengan menutup secara efektif Selat Hormuz yang strategik dan melancarkan peluru berpandu ke sasaran di Asia Barat.

“Dalam respons ini,  yang dihuraikan dalam sepuluh perkara, Iran telah menolak gencatan senjata dan menekankan keperluan untuk penamatan konflik secara muktamad,” tambah agensi berita kerajaan Iran itu.

Menurut IRNA, tuntutan Teheran termasuk penamatan konflik di rantau Asia Barat, protokol bagi laluan selamat melalui Selat Hormuz, pembinaan semula dan penarikan sekatan.

Akhbar The New York Times, yang memetik dua pegawai kanan Iran tanpa nama, melaporkan bahawa Teheran juga menuntut jaminan bahawa ia tidak akan berdepan serangan pada masa hadapan, selain serangan Israel terhadap sekutunya Hizbollah di selatan Lubnan dihentikan.

Berdasarkan pelan yang dilaporkan, Iran akan membuka semula Selat Hormuz kepada trafik sambil mengenakan caj kira-kira AS$2 juta (RM8 juta) bagi setiap kapal, yuran yang akan dikongsi bersama Oman iaitu negara bersempadan dengan laluan laut tersebut, menurut The New York Times.

Iran akan menggunakan bahagiannya daripada hasil tersebut untuk membina semula infrastruktur yang rosak akibat serangan AS-Israel dan bukannya menuntut pampasan secara langsung, menurut akhbar itu. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN