TEHERAN: Pegawai keselamatan Teheran menyatakan Selat Hormuz tidak akan kembali seperti sebelum perang Amerika Syarikat (AS)-Israel yang bermula pada 28 Februari lalu.
Laluan air itu, yang dilalui oleh kira-kira 20 peratus perdagangan minyak mentah dunia melalui laut, masih secara efektif tertutup akibat pertempuran sepanjang sebulan yang lalu.
Kebuntuan ini telah menyebabkan tekanan ekonomi kepada banyak negara, termasuk AS, di mana harga petrol melebihi AS4 (RM16) segelen atau 3.78 liter pada awal minggu ini.
Pegawai Iran itu berkata dalam satu temu bual dengan RT pada Khamis bahawa: “Keadaan di Selat Hormuz tidak akan kembali kepada status seperti sebelum perang.”
Buat masa ini, transit melalui laluan air tersebut masih beroperasi, tetapi kapal-kapal tertakluk kepada kelulusan pihak Iran dan memerlukan negara yang benderanya terpacak pada kapal tersebut untuk menghubungi Teheran terlebih dahulu, katanya.
Beliau menambah: “Sehingga kini, tiada kapal yang dimiliki oleh musuh atau rakan sekutunya dibenarkan untuk melalunyai.” Beliau merujuk kepada AS, Israel, dan sekutu mereka.
Sementara itu, Timbalan Menteri Luar bagi Hal Ehwal Undang-undang dan Antarabangsa, Kazem Gharibabadi berkata, Iran sedang merangka protokol bersama Oman untuk mengawasi transit maritim melalui Selat Hormuz
Awal minggu ini, Parlimen Iran meluluskan ‘rejim baharu’, yang membolehkan Teheran mengutip bayaran daripada kapal-kapal yang melalui selat itu.
Majalah Lloyd’s List melaporkan sebuah kapal telah membayar AS$2 juta (RM8 juta) untuk proses transit. Agensi berita Tasnim menganggarkan Teheran boleh menjana sekitar AS$100 bilion (RM403 bilion) setahun di bawah skim ini apabila trafik di selat itu pulih sepenuhnya.
TINDAKAN PROVOKATIF
Sementara itu, Iran menasihati Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) agar tidak mengambil sebarang ‘tindakan provokatif’ menjelang undian yang dijadualkan mengenai draf resolusi berkaitan Selat Hormuz yang akhirnya ditangguhkan.
“Sebarang tindakan provokatif oleh penceroboh dan penyokong mereka, termasuk dalam UNSC berhubung situasi di Selat Hormuz, hanya akan menambahkan kerumitan,” kata Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi.
IRAN SERANG WALAU DIBOM
Menurut penilaian risikan terbaru AS, kira-kira separuh daripada pelancar peluru berpandu Iran masih utuh dan ribuan dron serangan sehala masih berada dalam simpanan senjata walaupun serangan harian oleh AS dan Israel ke atas sasaran ketenteraan sepanjang lima minggu lalu, kata tiga sumber yang mengetahui maklumat risikan itu kepada CNN.
“Mereka masih benar-benar bersedia untuk menimbulkan kemusnahan besar di seluruh rantau ini,” kata salah satu sumber mengenai Iran.
Jumlah dalam penilaian risikan AS itu mungkin termasuk pelancar yang buat masa ini tidak dapat diakses, seperti yang tertimbus di bawah tanah akibat serangan tetapi tidak musnah sepenuhnya.
ISRAEL
Tentera Israel melaporkan satu lagi gelombang serangan peluru berpandu baharu dari Iran pada Jumaat, dengan sistem pertahanan udaranya diaktifkan untuk memintas peluru berpandu tersebut.
Setakat ini, tiada laporan segera mengenai kemalangan jiwa.
Perkhidmatan kecemasan Israel melaporkan terdapat kerosakan pada sejumlah rumah dan kereta akibat sebuah peluru berpandu berangkai yang tidak berjaya dipintas.
Sementara itu, radio tentera Israel berkata sebuah stesen kereta api di Tel Aviv mengalami kerosakan akibat serpihan letupan.
Serangan dari Iran itu berlaku ketika Trump berkata bahawa tentera AS masih belum mula memusnahkan apa yang tinggal di Iran. “Jambatan seterusnya, kemudian loji tenaga elektrik!” tulisnya di platform Truth Social miliknya, selepas menyatakan bahawa jambatan tertinggi di negara itu telah dimusnahkan.
KUWAIT
Sebuah kompleks penjanaan elektrik dan penyahgaraman air di Kuwait telah mengalami kerosakan akibat serangan dari Iran pada Jumaat, menurut kementerian elektrik dan air.
Namun, seorang wartawan AFP di Bandar Raya Kuwait berkata, tiada gangguan bekalan elektrik atau perkhidmatan air dilaporkan setakat ini.
KEBAKARAN DI UAE
Satu kebakaran yang berpunca daripada serpihan yang jatuh akibat serangan yang berjaya dipintas telah memaksa operasi di sebuah kompleks gas di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE)n digantung pada Jumaat, menurut pejabat media kerajaan.
“Pihak berkuasa Abu Dhabi sedang menangani satu insiden serpihan yang jatuh di kemudahan gas Habshan, selepas berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara. Operasi telah digantung sementara pihak berkuasa menangani kebakaran. Tiada kecederaan dilaporkan,” kata pejabat media emiriah itu dalam satu hantaran di X.
Menurut Al Jazeera, angka awal menunjukkan 1,937 orang maut di Iran. Sekurang-kurangnya 24 orang di Israel, 13 anggota askar AS dan 27 lagi terbunuh di negara-negara Teluk dalam perang Iran. – AGENSI
.










