TEHERAN: Iran berkata pada Khamis bahawa tuntutan Washington adalah melampau dan tidak rasional serta menafikan sebarang rundingan sedang berlangsung mengenai gencatan senjata untuk menamatkan perang di Asia Barat.
Presiden AS, Donald Trump mendakwa pada Rabu bahawa presiden Iran telah meminta gencatan senjata, namun beliau berkata, republik Islam itu mesti terlebih dahulu membuka semula Selat Hormuz.
“Beberapa mesej telah diterima melalui orang tengah, termasuk Pakistan, tetapi tiada rundingan langsung dengan AS,” kata jurucakap kementerian luar Iran, Esmaeil Baqaei, seperti dipetik oleh agensi berita ISNA.
Beliau menuduh Washington mengemukakan tuntutan yang melampau dan tidak rasional serta berkata, Iran bersedia menghadapi sebarang serangan, termasuk pencerobohan oleh tentera darat.
Menulis di laman sosial miliknya, Truth Social menjelang ucapannya, Trump berkata, AS akan mempertimbangkan gencatan senjata apabila Selat Hormuz dibuka, bebas dan selamat untuk dilalui.
“Sehingga itu, kami sedang menghancurkan Iran sepenuhnya atau, seperti yang mereka katakan, mengembalikannya ke Zaman Batu!,” tulisnya.
Namun, Pengawal Revolusi Republik Islam Iran berikrar untuk terus menutup Selat Hormuz, laluan utama eksport minyak dan gas Teluk ke pasaran dunia, kepada musuh negara itu.
Kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak dunia biasanya melalui selat sempit tersebut dan penutupan telah menyebabkan harga tenaga melonjak serta menggugat ekonomi global.
Nada Trump telah berubah-ubah antara keras dan berdamai sejak perang bermula. Pada Selasa, beliau berkata konflik yang telah berlarutan selama sebulan itu mungkin berakhir dalam dua atau tiga minggu.
Pengawal Revolusi turut mengesahkan bahawa serangan mereka telah mengenai sebuah kapal tangki minyak di Teluk yang didakwa milik Israel. Sebuah agensi keselamatan maritim Britain berkata, kapal itu terkena serangan di luar pantai Qatar, menyebabkan kerosakan tetapi tiada kemalangan jiwa.
Seorang wartawan AFP melaporkan letupan besar berlaku di Teheran pada petang Rabu serta serangan terdahulu berhampiran bekas kedutaan AS. – AFP










