TEHERAN – Polis Iran dan Pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC) telah melaksanakan operasi bersepadu untuk mengesan dan memusnahkan sebuah pesawat tentera C-130 milik Amerika Syarikat (AS).
Ia disifatkan pegawai sebagai tindak balas tegas dan berkemahiran terhadap pencerobohan yang bertujuan menyelamatkan seorang juruterbang Amerika yang ditembak jatuh.
Pasukan Polis Iran dengan penyelarasan bersama IRGC, memusnahkan pesawat tentera C-130 milik AS itu dalam satu siri operasi bersama yang menyasarkan pergerakan udara musuh.
Menurut laporan, pesawat tersebut telah memasuki ruang udara Iran dengan tujuan mengesan seorang juruterbang pesawat pejuang yang ditembak jatuh. Ia dikenal pasti dan diserang dalam operasi bersama yang melibatkan Unit Khas Polis dan pasukan IRGC, sehingga membawa kepada kemusnahannya.
Sumber tempatan turut dipetik sebagai berkata, sebuah pesawat pengisian bahan api milik pasukan AS yang menceroboh turut ditembak jatuh di bahagian selatan wilayah Isfahan. tengah Iran.
Pesawat itu dilaporkan menjadi sasaran unit komando elit polis, menghalangnya daripada melengkapkan misinya.
Sementara itu, Markas Penguatkuasaan Undang-Undang Iran mengesahkan bahawa sebuah pesawat sokongan C-130 milik AS pada mulanya berjaya dilumpuhkan di bawah tembakan hebat daripada Unit Khas Polis sebelum dimusnahkan sepenuhnya beberapa minit kemudian.
Pegawai berkata, pemantauan tepat terhadap pergerakan udara musuh, digabungkan dengan tindak balas pantas dan terselaras oleh unit polis dan IRGC, memainkan peranan penting dalam kejayaan operasi tersebut. – TASNIM










