TOKYO: Satu gempa bumi berukuran 7.4 magnitud melanda utara Jepun pada Isnin, menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA) yang turut mengeluarkan amaran tsunami dengan ketinggian ombak sehingga tiga meter.
Gempa itu berlaku pada pukul 4.53 petang waktu tempatan di perairan Pasifik berhampiran wilayah Iwate di utara Jepun dan gegarannya cukup kuat sehingga menggegarkan bangunan besar sejauh Tokyo, ratusan kilometer dari pusat gempa.
Menurut JMA, ombak tsunami setinggi 80 sentimeter melanda sebuah pelabuhan di utara Jepun pada Isnin selepas gempa bumi kuat berukuran 7.4 magnitud menggegarkan wilayah tersebut.
Ombak itu direkodkan pada pukul 5.34 petang waktu tempatan di sebuah pelabuhan di Kuji, wilayah Iwate, menurut JMA. Sebelum itu, agensi berkenaan memaklumkan ombak setinggi 70 sentimeter telah melanda pada pukul 5.32 petang waktu tempatan.
Sebelum ini, agensi cuaca tersebut memaklumkan bahawa ombak tsunami paling awal boleh tiba di pantai utara dalam masa terdekat.
“Segera berpindah dari kawasan pesisir pantai dan tebing sungai ke tempat yang lebih selamat seperti kawasan tinggi atau bangunan pemindahan,” katanya.
Agensi itu memberi amaran bahawa kerosakan akibat ombak tsunami dijangka berlaku.
“Ombak tsunami dijangka melanda berulang kali. Jangan tinggalkan kawasan selamat sehingga amaran ditarik balik,” tambahnya.
Pejabat perdana menteri berkata, satu pasukan pengurusan krisis telah ditubuhkan.
Jepun merupakan antara negara paling aktif seismik di dunia, terletak di atas empat plat tektonik utama di sepanjang pinggir barat ‘Lingkaran Api’ Pasifik.
Kepulauan itu, yang mempunyai kira-kira 125 juta penduduk, lazimnya mengalami sekitar 1,500 gempa bumi setiap tahun dan menyumbang kira-kira 18 peratus daripada jumlah gempa dunia.
Sebahagian besar gempa tersebut berskala kecil, namun kesannya berbeza bergantung kepada lokasi dan kedalaman gempa di bawah permukaan Bumi.
Pada tahun 2011, gempa bermagnitud 9.0 mencetuskan tsunami yang mengorbankan atau menyebabkan kehilangan 18,500 orang dan menyebabkan kemalangan serius di loji nuklear Fukushima. – AFP










