Dua cedera dalam serangan di Bahrain ketika gencatan senjata AS-Iran bermula

Dua cedera dalam serangan di Bahrain ketika gencatan senjata AS-Iran bermula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANAMA: Serangan dari Iran ke atas Bahrain menyebabkan dua orang cedera, menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri kerajaan Teluk itu pada Rabu.

Kejadian itu berlaku hanya beberapa jam selepas Amerika Syarikat (AS) mengumumkan gencatan senjata dengan Teheran.

“Dua warganegara mengalami kecederaan ringan dan beberapa buah rumah di kawasan Sitra rosak akibat serpihan yang jatuh susulan pintasan sebuah dron milik Iran,” jelas kementerian itu dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Teheran dan Washington memaklumkan kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata selama dua minggu, kira-kira sejam sebelum tempoh akhir yang ditetapkan Presiden AS, Donald Trump untuk melancarkan serangan besar-besaran ke atas Iran tamat.

Pada pagi Rabu, bunyi letupan kedengaran di ibu kota Bahrain, Manama, menurut laporan wartawan AFP yang turut melihat kepulan asap menjulang dari sebuah kawasan di pulau Sitra, lokasi yang menempatkan kemudahan tenaga utama negara tersebut.

Dalam kenyataan awal, kementerian dalam negeri mengesahkan pasukan pertahanan awam berjaya mengawal kebakaran di sebuah kemudahan yang disasarkan oleh pencerobohan Iran, namun tidak memperincikan lokasi tepat kemudahan tersebut.

Sejurus selepas gencatan senjata diumumkan, Kementerian Pertahanan Qatar turut mengesahkan pihaknya sedang menangani ancaman peluru berpandu.

Sebelum gencatan itu diumumkan secara rasmi, kementerian dalam negeri Doha memaklumkan serpihan daripada pintasan peluru berpandu sebelum ini telah mencederakan empat orang, termasuk seorang kanak-kanak.

Negara-negara Teluk berdepan serangan dron dan peluru berpandu berterusan dari Iran sejak beberapa minggu kebelakangan ini, sebagai tindak balas terhadap serangan AS dan Israel yang bermula pada penghujung Februari lalu.

Iran dilaporkan menyasarkan infrastruktur bahan api fosil di negara-negara Teluk yang kaya dengan minyak, selain bertindak menutup laluan strategik Selat Hormuz bagi tujuan perkapalan, kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak global biasanya melalui laluan tersebut. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×