BOGOTA: Polis Colombia berjaya menahan seorang ketua kumpulan gerila yang dituduh mendalangi serangan bom maut terhadap orang awam dalam tempoh beberapa dekad.
Serangan bom pada Sabtu lalu di sebuah lebuh raya di wilayah barat daya Cauca telah mengorbankan 21 nyawa dan mencederakan 56 yang lain.
Presiden, Gustavo Petro menyifatkan kejadian itu sebagai serangan pengganas dan menuduh kumpulan gerila penyeludup kokain sebagai pihak yang bertanggungjawab.
Pihak polis mengesahkan penahanan Jose Vitonco yang didakwa sebagai ketua kumpulan pemberontak sayap kiri tempatan yang mempunyai kaitan dengan Ivan Mordisco iaitu penjenayah paling dikehendaki di Colombia ketika ini.
Dalam satu kenyataan polis, Vitonco disifatkan sebagai individu utama yang bertanggungjawab ke atas serangan dahsyat di Cauca, sebuah kawasan yang menjadi pusat penanaman koka bagi pengeluaran kokain, sumber pendapatan utama gerila di negara itu.
Insiden ini merupakan kehilangan nyawa terbesar dalam satu kejadian sejak kumpulan pemberontak FARC (kini dibubarkan) meletupkan sebuah kelab malam di Bogota pada 2003 yang mengorbankan 36 orang.
Kejadian berdarah ini mencetuskan kebimbangan keganasan kembali memuncak di Colombia, sepuluh tahun selepas FARC bersetuju untuk meletakkan senjata selepas konflik selama setengah abad dengan kerajaan.
Isu keselamatan kini menjadi topik utama dalam kempen menjelang pilihan raya presiden Colombia yang dijadualkan berlangsung pada 31 Mei ini.
Operasi penangkapan Vitonco di bandar Palmira itu turut dibantu oleh pihak tentera. Polis berjaya merampas sebuah pistol sembilan milimeter dan tujuh buah telefon bimbit daripada suspek.
Imej yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa menunjukkan Vitonco memakai jaket kalis peluru sambil diiringi anggota polis bersenjata berat.
Petro menerusi hantaran di platform X menyatakan suspek merupakan sekutu kuat Mordisco, bekas komander FARC yang merupakan antara pemberontak terawal menolak perjanjian damai bersejarah pada 2016.
Mordisco kini mengetuai kumpulan pemberontak penentang terbesar di Colombia yang mempunyai kekuatan sekitar 3,200 ahli. Petro sering membandingkan pengaruh dan kekejaman Mordisco dengan raja kokain terkenal, Pablo Escobar. -AGENSI










