BEIJING: China didakwa kini secara senyap memperluas infrastruktur senjata nuklearnya dalam skala besar.
Menurut siasatan CNN, tiga penduduk dari wilayah Sichuan, China menulis surat kepada pegawai-pegawai tempatan pada 2022 untuk bertanya mengapa kerajaan merampas tanah dan mengusir mereka dari rumah. Namun ketiga-tiga penduduk itu menerima jawapan ringkas ia adalah ‘rahsia negara’.
Lebih tiga tahun selepas pengusiran itu, imej satelit menunjukkan kampung mereka sudah diratakan dan bangunan baharu dibina bagi menyokong beberapa kemudahan pengeluaran senjata nuklear paling penting di China.
Pengembangan tapak di wilayah Sichuan, yang diperhatikan melalui imej satelit dan semakan berpuluh dokumen kerajaan China, menyokong dakwaan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa Beijing sedang menjalankan kempen pemodenan senjata nuklear paling signifikan dalam tempoh beberapa dekad.
Pengubahsuaian besar turut dilihat di beberapa institut penyelidikan di barat daya rangkaian Zitong dikenali sebagai Bandar Raya Sains, yang dianggap lokasi penting program nuklear China. Pembangunan kampus dilaporkan begitu besar sehingga lebih 600 bangunan dirobohkan pada 2022.
Trump dijadualkan melawat Beijing bulan depan untuk cuba memulakan dialog mengenai perjanjian bagi mengehadkan hasrat nuklear Presiden China, Xi Jinping.
Awal tahun ini, perjanjian pengurangan senjata terbaharu antara Russia dan AS dikenali sebagai New START tamat tempoh. Trump ingin mencapai perjanjian baharu yang turut melibatkan China. Namun, perubahan dramatik di tapak Sichuan menunjukkan program senjata nuklear Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China masih rancak.
Antara penambahan paling ketara adalah sebuah kubah besar, berbentuk seperti Tic Tac, muncul di tepi Sungai Tongjiang dalam tempoh kurang lima tahun. – CNN










