WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) berkata pada Rabu bahawa ia telah berjaya mematahkan cubaan 10 buah kapal yang cuba belayar keluar dari pelabuhan-pelabuhan Iran dalam tempoh 48 jam pertama sekatan laut terhadap republik Islam itu.
“Sepuluh kapal kini telah diarahkan berpatah balik dan tiada kapal yang berjaya menembusi sekatan sejak permulaan sekatan AS pada Isnin,” kata Markas Pusat AS (CENTCOM) dalam satu hantaran di platform X.
CENTCOM sebelum ini meletakkan jumlah kapal digagalkan belayar pada angka sembilan. Namun, kemudian menambah, sebuah kapal ke-10 yang menurutnya telah diminta kembali ke Iran. Arahan itu dibuat oleh sebuah kapal pemusnah peluru berpandu berpandu milik AS.
Walaupun CENTCOM berkata, tiada kapal yang berjaya melepasi sekatan tersebut, data penjejakan maritim dilihat bercanggah dengan dakwaan itu.
Data penjejakan pada Selasa menunjukkan sekurang-kurangnya tiga buah kapal yang belayar dari pelabuhan Iran telah menyeberangi Selat Hormuz.
Ia berlaku walaupun beberapa kapal yang melalui laluan itu kemudian berpatah balik.
Tiga kapal tersebut adalah antara sekurang-kurangnya tujuh kapal yang mempunyai kaitan dengan Iran yang melalui selat itu selepas sekatan Washington berkuat kuasa pada jam 1400 GMT Isnin atau pukul 10 malam waktu Malaysia, menurut penyedia data maritim Kpler.
Pasukan Teheran telah menutup selat itu selepas bermulanya kempen serangan udara AS-Israel terhadap republik Islam tersebut pada 28 Februari. Pada Ahad, AS mengumumkan sekatan terhadap pelabuhan-pelabuhan Iran selepas rundingan damai di Pakistan gagal. – AFP










