WASHINGTON: Dua individu yang didakwa ahli keluarga allahyarham Jeneral Iran, Qassem Soleimani telah ditahan di Amerika Syarikat (AS) selepas permit pemastautin mereka dibatalkan, menurut Jabatan Negara AS pada Sabtu.
“Semalam (Jumaat), anak saudara perempuan dan cicit saudara perempuan kepada Mejar Jeneral Pasukan Pengawal Revolusi Republik Islam Iran (IRGC), Qassem Soleimani, ditahan oleh ejen-ejen persekutuan susulan tindakan Setiausaha Negara, Marco Rubio menamatkan status pemastautin tetap sah (LPR) mereka,” menurut kenyataan jabatan itu.
Kenyataan itu mengenal pasti anak saudara tersebut sebagai Hamideh Soleimani Afshar. Nama anak perempuannya bagaimanapun tidak didedahkan.
Kedua-duanya kini berada dalam tahanan Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam AS (ICE), menurut kenyataan itu, tanpa menyatakan lokasi mereka.
Namun, media Iran memetik dua anak perempuan Soleimani yang menafikan bahawa pasangan tersebut mempunyai hubungan kekeluargaan.
“Kenyataan Jabatan Negara AS adalah satu pembohongan. Individu yang ditahan di AS itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan keluarga,” kata Zeinab Soleimani kepada agensi berita Fars.
Seorang lagi anak perempuan, Narjes Soleimani, yang merupakan anggota Majlis Bandar Raya Islam Teheran berkata kepada televisyen kerajaan Iran: “Sehingga hari ini, tiada seorang pun ahli keluarga atau saudara-mara Soleimani yang menetap di AS.”
Jabatan Negara AS tidak segera memberikan maklum balas terhadap permintaan AFP untuk penjelasan lanjut.
Soleimani, yang mengetuai cabang operasi luar IRGC, terbunuh dalam serangan dron AS ketika berada di ibu negara Iraq, Baghdad, pada Januari 2020, tahun terakhir penggal pertama Presiden Donald Trump di Rumah Putih. – AFP










