WASHINGTON: Presiden Donald Trump pada Jumaat berkata bahawa Amerika Syarikat (AS) boleh membuka Selat Hormuz dan mengambil minyak sekiranya mempunyai lebih banyak masa.
“Dengan sedikit lagi masa, kita boleh dengan mudah membuka Selat Hormuz, mengambil minyak dan mengaut keuntungan besar.
“Ia akan menjadi satu lubuk minyak untuk dunia?’ tulis Trump di platform Truth Social miliknya.
Mesej tersebut bagaimanapun tidak menjelaskan bagaimana Amerika boleh menamatkan kawalan Iran ke atas laluan perairan Hormuz atau minyak yang dimaksudkannya.
Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dalam kenyataan yang didedahkan kepada umum pada Jumaat berkata, negaranya boleh membantu membuka semula Selat Hormuz.
Iran telah mengenakan cengkaman ketat ke atas laluan perkapalan utama itu sehingga mengancam bekalan bahan api dan menggoncang pasaran tenaga.
Ia adalah sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika-Israel yang mencetuskan perang di Asia Barat.
“Tiada siapa yang melibatkan kami secara khusus dalam isu Selat Hormuz. Semasa lawatan saya, saya telah memberitahu wakil-wakil negara Asia Barat dan Teluk (bahawa) Ukraine bersedia membantu dalam semua perkara yang berkaitan dengan pertahanan,” kata Zelensky.
Beliau berkata demikian kepada sekumpulan kecil wartawan, termasuk AFP pada Khamis.
Zelensky merujuk kepada pengalaman Kyiv dalam memulihkan laluan di Laut Hitam yang telah disekat oleh Russia pada awal pencerobohannya ke atas Ukraine.
Dalam temu bual berasingan, Zelensky berkata pembukaan semula selat itu memerlukan dron pemintas, konvoi ketenteraan dan peperangan elektronik.
“Kami bersedia untuk membantu dalam hal ini,” katanya. – AFP










