Wanita pertama Iraq kecam AS cuba eksploitasi pasukan Kurdish menentang Iran

Wanita pertama Iraq kecam AS cuba eksploitasi pasukan Kurdish menentang Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGHDAD: Isteri Presiden Iraq, Shanaz Ibrahim Ahmed mengecam Amerika Syarikat (AS) kerana cuba memperlakukan penduduk Kurdish sebagai proksi dalam perangnya menentang Iran, menegaskan mereka bukan ‘senjata upahan’.

Kenyataan itu dibuat sempena ulang tahun ke-35 pemberontakan Kurdish pada 1991 menentang rejim Saddam Hussein, dan ketika timbul laporan mengenai plot AS-Israel untuk menggerakkan pasukan Kurdish dalam perang menentang Teheran yang dinafikan Presiden AS, Donald Trump.

Shanaz, seorang tokoh Kurdi terkemuka dan isteri Presiden Iraq, Abdul Latif Rashid, merujuk kepada sejarah untuk menekankan amarannya.

Beliau menyebut pemberontakan ‘Raparin’ di Sulaymaniyah pada 1991, di mana Kurdi bangkit menentang Saddam, tetapi kemudian ditinggalkan apabila keutamaan berubah dan rejim menggunakan helikopter, kapal perang dan kereta kebal untuk menumpaskan pemberontakan.

“Tidak ada sesiapa yang datang mempertahankan kami. Kenangan itu masih jelas dan terpahat dalam ingatan kami,” katanya.

Beliau memperingati episod itu sebagai pengajaran yang tidak boleh dilupakan, dan menggesa semua pihak agar tidak mengulangi pengkhianatan seperti itu.

Beralih kepada isu semasa, Shanaz menekankan kejadian baru-baru ini di Timur Laut Syria, dikenali sebagai Rojava, di mana Kurdi Syria berjuang menentang pengganas Daesh, tetapi kemudian menghadapi pengabaian selepas janji sokongan dibuat.

“Selepas semua janji yang dibuat, selepas Kurdi Syria berada di barisan hadapan perang menentang ISIS, kita menyaksikan bagaimana mereka kemudian dilayan.

“Sering kali, Kurdi diingati hanya apabila kekuatan atau pengorbanan mereka diperlukan. Oleh itu, saya menyeru semua pihak yang terlibat dalam konflik ini, tolong jangan ganggu Kurdi lagi,” tegasnya.

Beliau menekankan Kurdi Iraq telah mencapai tahap kestabilan dan maruah, menjadikannya sangat sukar, malah mustahil untuk membiarkan diri mereka dijadikan alat kuasa besar.

Kenyataan Isteri Presiden Iraq itu dikeluarkan selepas laporan tentang usaha AS dan Israel untuk membekalkan dan menggerakkan kumpulan Kurdi dalam perang menentang Iran.

Menurut pelbagai sumber, termasuk Agensi Perisikan Pusat (CIA) berusaha membekalkan senjata kepada kumpulan militan Kurdi yang berpangkalan di utara Iraq, selepas AS gagal mencapai matlamatnya dalam perang tanpa provokasi terhadap Republik Islam itu.

Pentadbiran Presiden, Donald Trump dilaporkan telah mengadakan perbincangan dengan kumpulan pembangkang Iran dan pemimpin Kurdi di Iraq mengenai sokongan ketenteraan, termasuk tawaran bantuan udara untuk menguasai sebahagian wilayah barat Iran.

Namun, rancangan itu menghadapi tentangan, dengan Kerajaan Wilayah Kurdistan mengisytiharkan neutraliti dalam perang. Pasukan bersenjata Iran turut menangkis cubaan pencerobohan rentas sempadan oleh unit Kurdi yang disokong AS-Israel.

Penasihat keselamatan negara Iraq, Qasem al-Araji, berkata, Iraq tidak akan membenarkan mana-mana kumpulan dari tanahnya menyeberang sempadan ke Iran untuk melakukan keganasan, terutama ketika Republik Islam sedang menangkis serangan AS-Israel.

Qasem berkata, Iraq akan meneruskan hubungan diplomatik dengan pelbagai pihak untuk meredakan ketegangan dan memastikan jalan diplomasi terbuka.

Perdana Menteri Iraq, Mohammad Shia’ al-Sudani, telah mengarahkan pegawai untuk mematuhi sepenuhnya perjanjian keselamatan Teheran-Baghdad dan mengambil langkah menghentikan pencerobohan pengganas ke Iran.

Ekoran itu, semalam Trump mendakwa beliau menolak pembabitan puak Kurdish dalam serangan terhadap Iran dengan menyatakan Washington tidak mahu konflik itu menjadi lebih rumit.

Media AS dan Israel melaporkan sejak beberapa hari kebelakangan ini, pentadbiran AS telah berhubung dengan kumpulan bersenjata Kurdish di Iraq serta memberikan sokongan dalam usaha menentang Teheran.

Bercakap kepada pemberita di dalam pesawat Air Force One ketika dalam perjalanan ke Miami. Trump mendakwa AS mengekalkan hubungan baik dengan puak Kurdish, namun menasihatkan mereka supaya tidak menyertai konflik itu.

“Kami sangat mesra dengan Kurdish, seperti yang anda tahu, tetapi kami tidak mahu menjadikan konflik ini lebih rumit daripada yang sedia ada,” kata Trump.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN