WASHINGTON: Presiden Donald Trump memberi amaran kepada Iran sebarang cubaan mengganggu penghantaran minyak melalui Selat Hormuz akan mencetuskan tindak balas ’20 kali lebih keras’ daripada serangan Amerika Syarikat (AS) sebelum ini.
Trump berkata, jika Iran cuba menyekat aliran minyak melalui laluan strategik itu, negara berkenaan akan berdepan tindakan ketenteraan lebih besar daripada Washington.
Kenyataan itu dibuat menerusi platform media sosialnya, Truth Social.
Menurutnya, AS boleh menyasarkan lokasi di Iran yang disifatkannya sebagai ‘mudah dimusnahkan’, sekali gus berpotensi menjejaskan keupayaan negara itu untuk membina semula kekuatannya.
“Kematian, api dan kemarahan akan menimpa mereka, namun saya berharap dan berdoa agar ia tidak berlaku,” katanya.
Trump turut menyifatkan amaran itu sebagai langkah melindungi perdagangan global, terutama bagi negara yang bergantung kepada penghantaran minyak melalui Selat Hormuz, termasuk China.
“Ini adalah hadiah daripada AS kepada China dan semua negara yang banyak menggunakan Selat Hormuz. Semoga ia dihargai,” kata Trump.- ANADOLU










