Trump ugut sekat perdagangan Sepanyol

Trump ugut sekat perdagangan Sepanyol

PENUNJUK perasaan membawa sepanduk memaparkan wajah Donald Trump semasa protes menentang Presiden AS itu di Malaga, selatan Sepanyol.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Donald Trump, mengugut untuk mengenakan sekatan perdagangan penuh ke atas Sepanyol selepas sekutu Eropah dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) itu enggan membenarkan tentera Amerika Syarikat (AS) menggunakan pangkalan mereka bagi menyerang Iran.

Menyifatkan Sepanyol sangat teruk, Trump turut mengarahkan Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent, untuk menghentikan semua urusan dengan negara itu.

“Kami akan menghentikan semua perdagangan dengan Sepanyol. Kami tidak mahu ada kaitan dengan Sepanyol,” katanya kepada pemberita semasa pertemuan dengan Canselor Jerman, Friedrich Merz.

AS memindahkan 15 pesawat, termasuk kapal tangki pengisian bahan api, dari pangkalan tentera Rota dan Moron di selatan Sepanyol selepas kerajaan pimpinan Parti Sosialis negara itu tidak membenarkan pesawat tersebut digunakan untuk menyerang Iran.

Trump sekali lagi merujuk kepada keengganan Sepanyol bagi memenuhi gesaan AS agar semua anggota NATO membelanjakan lima peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) mereka untuk pertahanan.

“Sepanyol langsung tiada apa-apa yang kami perlukan. Semua urusan melibatkan Sepanyol, saya ada hak untuk menghentikannya.

“Embargo, saya boleh lakukan apa sahaja, dan mungkin itulah yang akan kami lakukan dengan Sepanyol,” tegas Trump.

Merz berkata, beliau memberitahu Trump secara peribadi bahawa Sepanyol tidak boleh dikecualikan daripada perjanjian perdagangan yang dicapai antara Brussels dan Washington pada 2025.

“Saya katakan Sepanyol adalah ahli Kesatuan Eropah (EU) dan kita hanya merundingkan tarif dengan AS secara bersama atau tidak sama sekali. Tiada cara untuk melayan Sepanyol dengan teruk,” kata Merz kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Trump pula secara terbuka meminta pendapat Bessent dan Wakil Perdagangan AS (USTR), Jamieson Greer, mengenai cadangan menghentikan perdagangan dengan Sepanyol.

Sementara itu, kerajaan Sepanyol dalam satu kenyataan menegaskan AS perlu menghormati autonomi perniagaan swasta, undang-undang antarabangsa dan perjanjian perdagangan dua hala antara Washington serta EU.

Madrid berkata, ia mempunyai sumber mencukupi untuk menampung kesan potensi sekatan perdagangan dan menyokong sektor terjejas, sambil menegaskan akan terus mendorong perdagangan bebas serta kerjasama ekonomi dengan rakan niaga.

Sepanyol merupakan pengeksport utama minyak zaitun di dunia dan juga menjual alat ganti automotif, besi serta bahan kimia ke AS, tetapi ia kurang terdedah kepada ancaman hukuman ekonomi Trump berbanding negara Eropah lain.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN