Trump, Rubio beri alasan bercanggah punca AS sertai perang Iran

Trump, Rubio beri alasan bercanggah punca AS sertai perang Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menegaskan beliau mengarahkan tentera untuk menyertai serangan Israel ke atas Iran kerana percaya Iran akan menyerang terlebih dahulu.

Lapor Reuters, kenyataan itu bercanggah dengan alasan yang diberikan oleh Setiausaha Negaranya, Marco Rubio sehari sebelum itu mengenai bagaimana perang tersebut bermula.

Rubio memberitahu pemberita pada Isnin, AS melancarkan serangan kerana bimbang Iran akan membalas dendam terhadap rancangan tindakan Israel ke atas Tehran.

“Kami tahu akan ada tindakan daripada Israel, kami tahu itu akan mencetuskan serangan terhadap tentera AS dan kami tahu jika kami tidak melakukan serangan awal sebelum mereka melancarkan serangan tersebut, kita akan mengalami jumlah korban yang lebih tinggi,” kata Rubio.

Trump bagaimanapun menolak dakwaan Israel telah mengheret AS ke dalam konflik tersebut.

Pentadbiran beliau kini berdepan kritikan hebat daripada penyokong sendiri serta ahli Demokrat yang menuduh beliau melancarkan perang pilihan.

“Mungkin saya yang memaksa tangan mereka (Israel). Kita sedang berunding dengan ‘orang gila’ (Iran) ini, dan pada pendapat saya, mereka akan menyerang dulu.

“Jika kita tidak buat, mereka tetap akan menyerang. Saya amat yakin tentang perkara itu,” kata Trump kepada pemberita di Pejabat Oval ketika bertemu dengan Canselor Jerman, Friedrich Merz.

Dalam pada itu, pihak Iran menegaskan serangan AS tersebut dilakukan tanpa sebarang provokasi.

Beberapa pengulas konservatif terkemuka meningkatkan kritikan mereka terhadap serangan ke atas Iran, dengan berhujah kenyataan Rubio menunjukkan seolah-olah Israel, dan bukannya pentadbiran Trump yang membuat keputusan besar.

“Jadi Rubio secara terus terang memberitahu kita bahawa kita berperang dengan Iran kerana Israel memaksa kita.

“Ini adalah perkara paling buruk yang boleh dia katakan,” tulis hos podcast konservatif, Matt Walsh kepada empatjuta pengikutnya di platform X.

Megyn Kelly, juga seorang hos podcast konservatif, menyuarakan keraguan terhadap keputusan Trump untuk menyerang Iran.

“Tugas kerajaan kita bukan untuk menjaga kepentingan Iran atau Israel. Tugasnya adalah untuk menjaga kita. Dan bagi saya, ini jelas terasa seperti perang milik Israel,” kata Kelly dalam ulasan yang disiarkan sebelum kenyataan Rubio dikeluarkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN