WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memecat Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem, susulan peningkatan kritikan terhadap kepimpinan beliau dalam jabatan tersebut, termasuk pengendalian tindakan keras imigresen dan tindak balas bencana oleh pentadbiran berkenaan.
Trump, yang akan mencalonkan Senator Republikan dari Oklahoma, Markwayne Mullin bagi menggantikan Noem, membuat pengumuman itu di media sosial dua hari selepas Noem berdepan sesi soal siasat yang sengit di Capitol Hill daripada ahli parti Republikan serta Demokrat.
Penyingkiran Noem menandakan satu pusingan drastik bagi sekutu rapat Presiden itu yang sebelum ini ditugaskan untuk menerajui dasar teras Trump iaitu pengusiran besar-besaran warga asing.
Namun, beliau dilihat semakin menjadi beban kepada Trump, dengan timbulnya persoalan mengenai perbelanjaan jabatannya serta tingkah laku beliau susulan insiden kematian dua penunjuk perasaan yang ditembak mati di Minneapolis awal tahun ini.
Trump berkata, Noem telah berkhidmat dengan baik dan telah membuahkan hasil yang banyak dan luar biasa terutamanya di sempadan.
Beliau bagaimanapun telah melantik Noem sebagai Utusan Khas untuk The Shield of the Americas iaitu sebuah inisiatif keselamatan baharu yang menurut beliau akan memberi tumpuan kepada Hemisfera Barat.
Noem, yang muncul dalam satu acara penguatkuasaan undang-undang di Nashville, Tennessee sejurus selepas pengumuman Trump, tidak menyentuh mengenai penyingkirannya di sana sebaliknya hanya membaca teks ucapan yang disediakan dan tidak disoal oleh para hadirin mengenai perkembangan tersebut.
Kemudian, dalam satu hantaran di media sosial, beliau mengucapkan terima kasih kepada Trump atas pelantikan baharu itu dan menonjolkan pencapaiannya sepanjang memegang jawatan setiausaha.
Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt berkata, pentadbiran akan bekerjasama dengan Senat yang dipimpin oleh Republikan untuk memastikan Mullin yang disifatkannya sebagai sangat berkelayakan, disahkan secepat mungkin bagi memimpin Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS).
Noem merupakan setiausaha Kabinet pertama yang meninggalkan jawatan semasa penggal kedua Trump. Tempoh perkhidmatannya kelihatan semakin singkat selepas pendengaran di Kongres minggu ini di mana beliau berdepan kritikan pedas yang jarang berlaku daripada penggubal undang-undang Republikan.
Satu perkara utama yang diteliti adalah kempen iklan bernilai AS$220 juta (RM868.8 juta) yang menampilkan Noem bagi menggalakkan pendatang tanpa izin meninggalkan negara secara sukarela.
Noem memberitahu penggubal undang-undang, Trump menyedari tentang kempen itu lebih awal.
Namun Trump menafikan perkara itu dalam satu temu bual dengan Reuters pada Khamis, dengan menyatakan beliau tidak meluluskan kempen iklan berkenaan.
Noem berdepan gelombang kritikan semasa memantau tindakan keras imigresen Trump, terutamanya sejak kematian dua penunjuk perasaan di Minneapolis akibat tembakan oleh pegawai penguatkuasa imigresen. -AGENSI










