WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan cadangan mahu mengambil minyak di Iran dan berkemungkinan merampas Pulau Kharg, hab eksport minyak utama negara itu.
Dalam temu bual dengan Financial Times, Trump berkata, sejujurnya, perkara yang paling diinginkannya ialah mengambil minyak Iran, sambil membandingkan langkah itu dengan situasi di Venezuela selepas penahanan Presidennya, Nicolas Maduro pada Januari.
Merampas minyak Iran akan melibatkan penguasaan Pulau Kharg, yang menyalurkan lebih 90 peratus eksport minyak Iran, lapor akhbar itu, sambil memberi amaran tindakan sedemikian berisiko meningkatkan korban dan memanjangkan perang.
“Mungkin kita ambil Pulau Kharg, mungkin tidak. Kita ada banyak pilihan. Ini juga bermakna kita perlu berada di sana untuk satu tempoh,” kata Trump.
PERTAHANAN
Beliau turut mendakwa Iran mempunyai pertahanan yang lemah di pulau itu dan AS mampu merampasnya dengan mudah.
Kenyataan Trump dibuat ketika beliau meningkatkan kehadiran askar AS di Asia Barat sambil mempertimbangkan operasi untuk mengeluarkan hampir 453 kilogram uranium dari Iran, menurut pegawai AS.
Beliau juga menggalakkan penasihatnya supaya menekan Iran agar menyerahkan bahan tersebut sebagai syarat menamatkan perang.
Jabatan Pertahanan AS atau Pentagon turut mengerahkan ribuan askar ke Asia Barat dan ia memberi pilihan kepada Trump untuk melancarkan serangan darat.
Pentagon dilaporkan mengerahkan sehingga 10,000 tambahan askar darat ke rantau itu. Markas Pusat Tentera AS (USCC) mengumumkan lebih 3,500 anggota, termasuk 2,500 askar marin sudah berada di Asia Barat.
Walaupun ancaman meningkat, Trump berkata, rundingan tidak langsung antara AS dan Iran melalui perantara dari Pakistan menunjukkan kemajuan.
“Perjanjian boleh dicapai dengan agak cepat,” katanya.
Namun Speaker Parlimen Iran, Mohammad Baqer Qalibaf menuduh AS menghantar mesej mengenai kemungkinan rundingan, tetapi pada masa sama merancang pencerobohan darat.
“Selagi AS mahu Iran menyerah kalah, jawapan kami ialah kami tidak akan sesekali menerima penghinaan,” katanya dalam mesej kepada rakyat.
Majoriti rakyat AS menentang perang dan peningkatan aktiviti ketenteraan, yang berisiko mencetuskan krisis berpanjangan serta berkemungkinan menjejaskan lagi kadar sokongan terhadap Trump menjelang pilihan raya pertengahan penggal Kongres Amerika pada November.
Harga minyak melonjak sejak AS dan Israel melancarkan serangan besar ke atas Iran pada 28 Februari. Minyak mentah Brent mencecah sehingga AS$119.5 (RM481.44) setong pada Mac, paras tertinggi sejak Jun 2022.
ISRAEL
Pada Isnin, tentera Israel berkata, pasukan udaranya berjaya memintas dua dron yang dilancarkan oleh pasukan Houthi di Yemen.
Dron itu mencetuskan siren amaran serangan udara di bandar selatan Eilat di Laut Merah.
Kumpulan Houthi mengeluarkan amaran pada Jumaat, menegaskan mereka bersedia bertindak jika konflik serantau terus meluas.
Pada Sabtu, pasukan Houthi melancarkan dua peluru berpandu ke arah selatan Israel. Kali pertama kumpulan itu menyerang Israel sejak konflik bermula namun ia didakwa berjaya dipintas.
Sebelum ini, kumpulan itu turut menyasarkan laluan perkapalan di rantau tersebut. Kumpulan itu menyerang kapal di Laut Merah sebagai tindak balas terhadap serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza.
Penyertaan kumpulan Houthi dalam perang terbaharu ini meningkatkan kemungkinan mereka menyasarkan dan menyekat satu lagi laluan perkapalan penting, iaitu Selat Bab el-Mandeb.
SERANGAN BAHARU
Semalam, Tentera Israel dalam satu kenyataan mendakwa menyerang puluhan tapak pengeluaran senjata, termasuk barisan pembuatan peluru berpandu darat-ke-udara jarak jauh di Teheran.
“Dalam beberapa gelombang serangan udara sepanjang dua hari lalu di Teheran, kira-kira 40 kemudahan pengeluaran dan penyelidikan senjata telah diserang.
“Sasaran termasuk kemudahan pemasangan peluru berpandu darat-ke-udara jarak jauh, tapak pemasangan komponen peluru berpandu anti-kereta kebal dan anti-pesawat kecil dan kemudahan pengeluaran serta penyelidikan enjin peluru berpandu balistik,” katanya.
Israel melaporkan sedang menyerang sasaran ketenteraan di seluruh Teheran, sehari selepas Trump menyatakan perjanjian boleh dicapai tidak lama lagi, walaupun tidak menolak kemungkinan operasi darat ke atas Iran.
KILANG KIMIA
Sebuah kilang kimia di selatan Israel berhampiran bandar Beersheba terkena peluru berpandu atau serpihannya pada Ahad ketika Israel menangkis beberapa gelombang serangan dari Iran.
Iran turut melancarkan serangan baharu ke atas Israel, Kuwait dan Arab Saudi selepas kemudahan elektriknya diserang hujung minggu lalu. Ini menyebabkan gangguan bekalan elektrik di beberapa bahagian Teheran dan kawasan sekitarnya.
Tentera Israel berkata, sistem pertahanannya sedang bertindak balas terhadap peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran semalam.
“Sebentar tadi, IDF (Pasukan Pertahanan Israel) mengesan peluru berpandu dilancarkan dari Iran ke arah wilayah Israel. Sistem pertahanan sedang beroperasi untuk memintas ancaman,” menurut kenyataan tentera sambil menggesa orang ramai berlindung sehingga keadaan selamat.
Menurut Al-Jazeera, angka awal korban di Iran ialah 1,937 orang. Sekurang-kurangnya 19 orang di Israel, 13 anggota tentera AS dan 25 lagi turut maut di negara-negara Teluk. – AFP/AGENSI










