WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Khamis menangguhkan tarikh akhir bagi serangan ke atas aset tenaga Iran selama 10 hari dengan menyatakan ia dibuat atas permintaan Teheran.
Perlanjutan itu juga dibuat kerana rundingan dengan wakil negara itu berjalan dengan sangat baik.
“Pihak Iran meminta saya berbuat demikian dan saya tidak berpuas hati dengan mereka. Kerana kami telah membuat kenyataan bahawa rundingan sedang berjalan secara produktif.
“Saya tidak pasti sama ada mereka akan mencapainya. Mungkin ya. Mungkin tidak,” kata Trump, kepada Fox News dalam satu temu bual telefon.
Iran meminta lanjutan selama tujuh hari, namun Trump berkata, beliau memberikan lebih masa kerana mereka membenarkan 10 kapal tangki minyak berdaftar Pakistan melalui Selat Hormuz.
Namun, Trump memberi amaran tentang akibat jika Iran gagal memenuhi tarikh akhir dan berkata: “Jika mereka tidak melakukan apa yang sepatutnya, saya akan memusnahkan loji tenaga mereka.”
Ketegangan serantau meningkat sejak 28 Februari, apabila AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran yang setakat ini telah mengorbankan lebih 1,340 orang, termasuk Pemimpin Tertinggi ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei.
Iran telah membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta negara-negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.
Trump sebelum ini menafikan beliau terdesak untuk mencapai perjanjian bagi menamatkan perang di Asia Barat, walaupun respons dingin daripada republik Islam itu terhadap pelan damai Amerika.
“Rundingan sedang berjalan dan walaupun terdapat kenyataan tidak tepat daripada berita palsu (pihak) media dan pihak lain. Ia (rundingan) berjalan dengan sangat baik,” kata Trump dalam platform Truth Social miliknya.
Sabtu lalu, Trump pada asalnya memberi Iran tempoh 48 jam untuk membuka laluan penting Selat Hormuz kepada kapal tangki minyak dengan ancaman untuk memusnahkan loji tenaganya, namun kini beliau telah melanjutkan tempoh itu sebanyak dua kali.
“Seperti yang diminta oleh kerajaan Iran, kenyataan ini mewakili bahawa saya menangguhkan tempoh memusnahkan loji tenaga selama 10 hari sehingga Isnin, 6 April 2026, pukul 8 malam waktu Timur (waktu AS/Timur Kanada),” katanya.
Utusan Trump, Steve Witkoff, memberitahu mesyuarat Kabinet bahawa terdapat tanda-tanda kukuh Teheran bersedia untuk berunding dan buat pertama kali mengesahkan secara terbuka bahawa Washington telah menghantar senarai tindakan 15 perkara kepada Iran melalui pegawai Pakistan.
“Kita akan lihat ke mana arah perkara ini dan sama ada kita boleh meyakinkan Iran bahawa ini adalah titik perubahan tanpa pilihan baik untuk mereka selain lebih banyak kematian serta kemusnahan,” kata Witkoff.
Sementara itu, agensi berita Iran Tasnim News Agency melaporkan bahawa respons Iran terhadap 15 perkara yang dicadangkan AS telah dihantar secara rasmi melalui perantara dan kini Teheran menunggu jawapan pihak satu lagi.
Laporan itu, yang memetik pegawai tanpa nama, menyatakan Iran menuntut supaya serangan AS dan Israel dihentikan ke atas Iran serta kumpulan yang disokong Teheran di rantau tersebut termasuk Hizbollah di Lubnan.
Ia juga menuntut pampasan perang dibayar dan kedaulatan Iran ke atas Selat Hormuz dihormati, syarat yang dilihat jauh melebihi cadangan dalam pelan AS. – AFP/AGENSI











